Antara 116 penerima darjah kebesaran ditapis terperinci, Presiden FAM kini bergelar Tan Sri Hamidin Mohd Amin


  • Podium
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Hamidin (kanan) dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota daripada Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Sabtu.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Beliau dikurniakan Darjah Kebesaran itu oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda pada Sabtu.

Daripada 2,335 nama yang dicalonkan, hanya 116 individu dipilih untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

BACA LAGI: 'Pan-gon tak jujur', Hamidin buka kisah sebenar, anggap FAM tak perlu dipersalahkan

BACA LAGI: Hamidin dan media bakar adrenalin Faisal Halim, tak sabar kembali bersama rakan sepasukan Harimau Malaya

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024.

Hamidin merupakan satu-satunya wakil daripada industri bola sepak tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada Sultan Ibrahim.

Sejak menjadi Presiden FAM pada 2018, Hamidin sedikit demi sedikit berusaha membawa perubahan kepada bola sepak negara.

Semasa tempohnya menjadi presiden, Harimau Malaya berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023. Untuk rekod, Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit buat pertama kali sejak 42 tahun pada edisi tersebut.

Malah, ranking Harimau Malaya turut berjaya naik hingga ke kelompok 130 dunia terutamanya ketika era Kim Pan-gon dengan skuad kebangsaan bermain bola sepak yang cukup baik pada waktu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram