Mahu terbang jauh, atlet pecut paralimpik Negeri Sembilan idam emas di temasya SUKMA


  • Podium
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Nazmi mensasarkan membawa pulang pingat emas pada Sukan Para SUKMA 2024.

MASA semakin hampir buat atlet paralimpik seluruh negara untuk bertarung dalam temasya Para SUKMA 2024 di Sarawak.

Temasya yang diadakan selama enam hari bermula dari 22 hingga 28 September itu merupakan susulan kepada SUKMA 2024 yang diadakan pada 17 hingga 24 Ogos.

Persiapan kini sedang giat dilakukan dengan termasuklah atlet olahraga para Negeri Sembilan, Nazmi Aiman Khir.

BACA LAGI: ‘Itulah sikap atlet sebenar’, bekas jurulatih puji semangat Ziyad Zolkefli raih perak di Paralimpik

BACA LAGI: 'Saya dianggap terlalu tua', R. Jaganathan akhirnya buka mulut punca tinggalkan skuad Paralimpik Malaysia

photo_2024-09-05_16-30-40

R. Jaganathan merupakan jurulatih Nazmi.

Berlatih di bawah kendalian bekas jurulatih olahraga kebangsaan, R. Jaganathan, misinya ke Sarawak cuma satu iaitu ingin membawa pulang pingat emas.

"Saya sasarkan untuk membawa pulang pingat emas," kata Nazmi secara ringkas kepada Majoriti.

Nazmi bakal beraksi dalam dua kategori iaitu acara pecut 100 dan 200 meter pada Para SUKMA kali ini.

Sudah berlatih bersama Jaganathan sejak 2023, Nazmi mengakui prestasinya semakin meningkat hasil didikan jurulatih berpengalaman tersebut.

"Dulu, saya tak berapa baik dalam larian saya tapi semuanya berubah apabila saya mula berlatih dengan coach Jaga.

"Ditambah dengan nasihat-nasihat daripada coach Jaga, dia berjaya membantu menjadi atlet lebih baik," kata Nazmi.

Sasaran membawa emas dari Para SUKMA mungkin objektif jangka pendek, tetapi impian besar Nazmi adalah mahu menjadi atlet negara ke Sukan Paralimpik pada masa depan.

Mengenai nasib atlet paralimpik di Malaysia, Nazmi mengakui kebajikan mereka kini lebih terjaga. Sebagai atlet muda berusia 22 tahun, dia menerima pelbagai bantuan daripada pihak negeri dan kebangsaan.

Menurut Nazmi, dia menerima bantuan kewangan dari pihak Negeri Sembilan malah dia juga dibantu oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dengan ia dikreditkan kepada akaunnya setiap bulan.

Bantuan yang diterima bukan dalam bentuk kewangan sahaja tetapi dia turut mendapat bekalan asas makanan seperti beras, minyak dan sebagainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram