'Sangat tak sensitif', tindakan Hannah Yeoh bergambar dengan atlet Thailand undang kritikan


  • Podium
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Hannah (kiri) bergambar bersama Kunlavut (kanan) di Paris. — Instagram/Hannah Yeoh

HAJAT untuk menyaksikan kilauan pingat emas dari gelanggang badminton buat Malaysia masih lagi belum terlaksana apabila tiada wakil negara berjaya sampai ke perlawanan akhir di Sukan Olimpik 2024.

Namun begitu, kita masih boleh berbangga apabila dua butir gangsa berjaya diraih menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki).

Harapan Zii Jia untuk memburu emas terhenti di separuh akhir apabila dia tumpas kepada pemain Thailand dan pemenang pingat perak, Kunlavut Vitidsarn.

BACA LAGI: 'Itu zaman dia', Hannah Yeoh jawab sindiran KJ isu pakaian kontinjen Olimpik

BACA LAGI: KPG kongsi foto-foto terakhir di Malaysia, Hannah Yeoh antara sukar ucap selamat tinggal

Kejayaan Kunlavut itu meraih perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sempat bertemu dengannya di Paris, Perancis.

"Tahniah Kunlavut Vitidsarn kerana berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024. Saya sangat menikmati corak permainan badmintonnya. Sangat tenang. Dia kini mempunyai peminat baharu iaitu saya!," tulis Hannah di Instagram miliknya.

Akan tetapi, tindakan Hannah bergambar dengan Kunlavut itu mendapat kritikan pedas oleh peminat sukan tempatan yang berasakan menteri itu seolah-olah tidak patriotik dengan negara sendiri.

Mereka menganggap yang Hannah seperti tidak sensitif terhadap perjuangan atlet negara.

"Wow sangat tidak sensitif. Macam ni ke menteri KBS? Tak patriotik langsung. Sekarang bukannya masa untuk tunjuk perasaan fangirling terhadap pemain lainlah," kata peminat sukan negara bernama Fatimah Zahrah.

"Hannah ini tidak tahu malu. Orang semua bising kerana dia tidak kompeten (sebagai menteri) dan dia berani untuk siarkan gambar ini? Meraikan seteru kita dan bertindak seperti fangirl. Anda ke sana untuk bekerja dan bukannya nak jadi fangirl kepada seteru kita lagi-lagi mereka yang kalahkan pemain kita," ujar Seyra Winter yang jelas tidak puas hati.

"Menteri KBS peminat pemain lain. Kalau ya pun, tak perlu tunjuk sangatlah," komen Mior Amir.

Ketika dihubungi Majoriti, pihak Hannah enggan mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram