Padang bola terbiar kini berubah wajah, jadi tempat simpanan di Jinjang


  • Massa
  • Khamis, 05 Sep 2024

Tar sudah diturap serta khemah didirikan di sebuah padang bola sepak dekat Jinjang.

TAPAK yang dahulunya dijadikan sebagai padang bola sepak kini berubah wajah menjadi tempat simpanan di Jinjang, Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dapat dilihat apabila kawasan berkenaan yang sering dijadikan gelanggang bermain bola sepak dan sepak takraw sebelum ini sudah mula diturap dengan tar dan khemah juga turut didirikan.

Namun begitu, perubahan tersebut mengundang kerisauan penduduk sekitar kerana tanah awam terbabit digunakan untuk tujuan komersial dan mengaut keuntungan.

BACA LAGI: [VIDEO] Elak kes buaya sesat berulang, sudah tiba masa kerajaan pantau penjualan haiwan eksotik

BACA LAGI: Daerah Mersing perkenal 8 inisiatif utama, tarik pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026

Aktivis penduduk, Yee Poh Ping meluahkan kerisauan melihat tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk orang awam menjadi tempat sesebuah pihak mengaut keuntungan.

"Saya lihat pihak kontraktor sudah mula menurap tempat tersebut dengan tar.

"Saya difahamkan sebuah syarikat menyewa tanah tersebut selama tiga tahun daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG)," katanya pada Khamis.

Poh Ping turut menunjukkan surat kelulusan daripada pihak JKPTG yang membolehkan syarikat tersebut menggunakan tanah tersebut untuk meletakkan kereta baharu dan terpakai serta barangan untuk musim perayaan.

Dia turut menjelaskan tanah tersebut sebelum ini digunakan sebagai kawasan hijau. Namun tempat itu ditutup sementara kerana projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).

"Tanah itu digunakan sebagai padang bola tetapi ditutup sementara untuk pembinaan longkang dalam projek tebatan banjir dan kemudiannya untuk pembangunan MRT.

"Selepas projek MRT siap, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak dapat pastikan sama ada tempat itu adalah kawasan hijau atau tidak," katanya. — The Star/JAROD LIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kedah