Hamidin dan media bakar adrenalin Faisal Halim, tak sabar kembali bersama rakan sepasukan Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Faisal tidak dapat menahan sebak ketika menjejakan kaki ke Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia, Kelana Jaya pada Khamis. — Facebook/FAM

PEMAIN sayap kebangsaan, Faisal Halim meluahkan rasa syukur atas dorongan dan semangat kepada semua pihak yang telah banyak membantu dirinya dan keluarga sepanjang dia dalam proses pemulihan sejak insiden disimbah asid pada awal Mei lalu.

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak putus-putus memberi dorongan dan semangat untuk dirinya.

Dia yang membuat kemunculan pada hari pertama kem latihan skuad kebangsaan pada Khamis itu berbesar hati menerima sumbangan daripada pihak FAM.

BACA LAGI: Fans kali ini setuju dengan FAM, cepat-cepat lamar Park Hang-seo kemudi Harimau Malaya

BACA LAGI: Bercuti atau tinggalkan Pahang selamanya? Kehadiran striker Tok Gajah di Eropah timbul tanya

hamidinmickey

Faisal (kiri) terharu dengan sokongan Hamidin dan FAM terhadapnya selama ini. Facebook/FAM

"Terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia khususnya Presidennya, Datuk Hamidin Amin atas pemberian sumbangan ikhlas kepada saya pada pertemuan di WISMA FAM, Kelana Jaya.

"Saya berasa cukup terharu dengan keprihatinan Datuk Hamidin dan FAM yang sentiasa menjaga kebajikan para pemain Harimau Malaya," katanya.

Menurut pemain sayap Selangor FC itu, sumbangan yang diberikan kepadanya menjadikan dia lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menyarung jersi skuad kebangsaan dalam masa terdekat.

"Besar maknanya sumbangan yang saya terima ini kerana ia menjadikan saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk kembali pulih dan dapat beraksi semula bersama skuad Harimau Malaya.

"Saya juga berkesempatan bertemu barisan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan sebelum mereka memulakan sesi latihan petang, sudah tentu rasa tak sabar untuk kembali bersama-sama mereka selepas ini.

"Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang sentiasa sedia membuat liputan mengenai perkembangan saya dan juga pasukan Harimau Malaya," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram