Latif Romly berdepan 2 misi ‘tak mustahil’ di bumi Paris


  • Podium
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Latif berpeluang mencipta hatrik pingat emas di Sukan Paralimpik 2024.

SELEPAS negara bergembira dengan kejayaan atlet para badminton, Cheah Liek Hou dan jaguh angkat berat, Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas, tumpuan kini tertumpu kepada wira lompat jauh paralimpik kebangsaan iaitu Datuk Abdul Latif Romly.

Pemenang pingat emas bagi acara T20 (kecacatan intelektual) dalam dua temasya Sukan Paralimpik sebelum ini itu berpeluang untuk mencipta sejarah apabila turun pada aksi akhir pada awal pagi Ahad.

Mengikut jadual, Latif akan turun beraksi pada perlawanan akhir di Stade de France, Paris, Perancis pada 1.20 pagi waktu Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Tampil lebih segar bergaya, Latif Romly kongsi pakaian rasmi atlet Paralimpik kebangsaan di Paris

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Ziyad sudah lupakan kekecewaan Tokyo, mahu pecahkan rekod di bumi Paris

Pada edisi 2016 di Rio, Brazil, Latif memenangi pingat emas dengan lompatan sejauh 7.60 meter. Untuk rekod, itu adalah lompatan terjauh dihasilkan olehnya di temasya utama (Paralimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Para Asia).

Kecemerlangan itu diteruskan pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun dengan Latif mempertahan pingat emasnya dengan lompatan sejauh 7.45 meter.

Untuk musim ini, rekod terbaik lompatan Latif adalah 7.30 meter. Rekod tersebut membuatkan dia berada di belakang atlet Kanada iaitu Noah Vucsics dan wakil Rusia, Matvei Iakushev.

Sebagai rekod, Vucsics mencatatkan lompatan 7.31 meter manakala Iakushev pula 7.41 meter.

Walaupun kedudukan semasa mungkin meletakkan Latif sedikit di belakang atlet lain, namun kemampuan anak jati Kangar, Perlis itu tidak diragui oleh mana-mana rakyat Malaysia.

Sedikit sebanyak, ia turut mengurangkan sedikit tekanan dihadapi oleh Latif dalam misi meraih pingat emas ketiga buat dirinya dan Malaysia.

Apa-apa pun, semoga berjaya buat Datuk Latif Romly! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram