ERA baharu dalam bola sepak negara apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempunyai ketua pegawai eksekutif baharu (CEO).
Giorgio Pompili Rossi dilantik sebagai CEO MFL baharu menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya.
Merupakan bekas delegasi LaLiga ke Malaysia, kepakaran Rossi diharap dapat meningkatkan lagi taraf Liga Malaysia menjadi lebih baik.
BACA LAGI: Bekas orang kuat La Liga dilantik jadi CEO MFL, ganti Stuart Ramalingam
BACA LAGI: Satu kehilangan besar dalam industri bola sepak, kelab Liga Malaysia hargai jasa Stuart
Bagi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin, keputusan MFL untuk mendapatkan khidmat pakar daripada luar negara haruslah hadir dengan impak besar.
Ibarat mendapatkan pemain import bagi sesebuah kelab Liga Super, Rossi juga perlu memberikan impak segera kepada MFL yang sekali gus memberi manfaat buat bola sepak negara.
"Saya percaya yang CEO baharu ini mempunyai latar belakang yang baik sebelum dia dilantik untuk memegang jawatan CEO ini.
"Saya harap, bila kita lantik orang luar ni, biarlah dia datang bersama satu perubahan yang bukan macam siput (perlahan), tapi drastik. Kalau dia bawa perubahan yang biasa-biasa, kita pun ada juga CEO-CEO tempatan yang bagus-bagus juga," kata Sulaiman dalam rancangan Duduk Sembang terbitan Majoriti.
Dalam masa yang sama, Sulaiman mengharapkan Rossi akan menetapkan satu tahap piawai yang tinggi sambil menyelesaikan segala masalah-masalah dalam bola sepak tempatan.
Tidak mengharapkan seorang budak yang baru belajar berjalan, Rossi harus memakai 'kasut' sebagai CEO MFL lalu terus berlari menaikkan bola sepak Malaysia.
"Apabila beri amanah kepada CEO daripada luar negara, mesti kita harapkan perubahan yang menakjubkan. Kita tak boleh cakap, 'kita beri masa', dia macam pemain import, datang-datang kena terus jaringkan gol.
"Masa tak boleh tunggu dia, oleh itu apabila dia pakai kasut, mesti terus berlari," ujar Sulaiman.
Saksikan Duduk Sembang bersama Sulaiman Hussin di siaran langsung Facebook dan TikTok Majoriti pada Jumaat, 6 September mula 8.30 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram