PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan bahawa persatuan itu tidak sepatutnya dipersalahkan atas pemergian bekas ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Menurutnya, pengendali dari Korea Selatan itu tidak bersikap jujur ketika menarik diri daripada jawatannya selain beberapa kali mendesak supaya kontraknya yang sepatutnya berakhir pada hujung 2025 dilepaskan.
"Saya mahu nyatakan bahawa FAM tidak sepatutnya perlu dipersalahkan. Selepas Pan-gon pulang dari bercuti tiga minggu sesudah aksi dengan Taiwan, Pan-gon secara tergesa-gesa berjumpa dengan saya dan minta kontraknya dilepaskan.
"Menurut Pan-gon, dia mahu pulang kerana terdapat masalah dengan isterinya dan selama tiga hari, dia berjumpa saya untuk meminta kontraknya dilepaskan," kata Hamidin pada sidang akhbar di Wisma FAM pada Khamis.
BACA LAGI: Ibarat jambatan sedang terbakar, Hamidin perlu berundur elak FAM 'roboh kehangusan'
BACA LAGI: Presiden Perlis FA seru peminat terus sokong Harimau Malaya, kepimpinan Hamidin
Pan-gon bergelar pengendali Ulsan HD selepas meninggalkan Harimau Malaya.
Pada Julai lalu, Pan-gon mengumumkan pemergian dari jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya selepas kira-kira membimbing pasukan tersebut bagi dua tahun.
Kehadirannya menyaksikan skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia 2023, namun hanya menamatkan saingan ke peringkat kumpulan dengan satu mata diraih.
Bagaimanapun, prestasi tidak menentu pasukan negara menyaksikan Harimau Malaya gagal layak ke pusingan seterusnya dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Dia kemudiannya memilih untuk melepaskan jawatan tersebut, tetapi enggan menyatakan punca sebenar di sebalik keputusan itu sebelum secara tiba-tiba diumumkan sebagai pengendali Ulsan HD.
Hamidin turut memberitahu dia mengetahui pemergian jurulatih berkenaan ke kelab Korea Selatan itu lebih awal menerusi informasi daripada beberapa pihak yang berada di negara tersebut.
"Saya dapat panggilan daripada individu tidak dikenal pasti mengatakan Pan-gon sudah berbincang dengan Ulsan HD dan saya juga sudah bertanya kepada beberapa ejen dan kenalan.
"Saya berasa kecewa kerana Pan-gon tidak menyatakan kebenaran. Saya juga berjanji akan mendapatkan seorang jurulatih yang lebih berbanding Pan-gon, itu janji saya kepada penyokong," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram