Biar betul? 3 rekrut baharu JDT pernah 'cuti lama' akibat kecederaan


  • Podium
  • Jumaat, 06 Sep 2024

JDT menjadi pasukan paling giat membawa masuk pemain baharu sepanjang jendela perpindahan kali ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

ROMBAKAN besar-besaran dibuat Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan kali ini apabila mereka sudah membawa masuk tujuh pemain baharu pada jendela perpindahan kali.

Kemasukan rekrut itu akan menyaksikan skuad Harimau Selatan memberikan kata-kata perpisahan kepada beberapa pemain yang kurang membawa impak terhadap pasukan.

Setakat ini, Jalil Elias dan Francisco Geraldes sudah ditunjukkan jalan keluar sementara Nicolao Dumitru sudah tidak bersama kelab berkenaan sejak awal musim lagi.

BACA LAGI: Bintang baharu JDT sertai tonggak Selangor, Kedah jadi penyerang termahal Liga M 2024

BACA LAGI: [VIDEO] Garang 'mengaum' di JDT, Heberty ada peluang bukti Port FC pernah buat silap

Perubahan itu dibuat bagi memastikan pasukan Selatan tanah air tersebut dapat bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dengan harapan turut diletakkan penyokong selepas bertahun-tahun gagal melepasi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah karier masing-masing, timbul persoalan mengenai kebolehan rekrut baharu itu dengan ada sesetengah daripada mereka pernah dilanda isu kecederaan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang disambar JDT pada jendela perpindahan kali pernah disisihkan berikutan masalah kecergasan.

1. Iker Undabarrena

Antara pemain terawal dibawa masuk skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan kali ini ialah jeneral tengah kelahiran Sepanyol, Iker Undabarrena yang pernah beraksi buat skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negaranya.

Perpindahan itu membuktikan mereka sememangnya sudah bersedia dengan kehilangan Jalil yang dilaporkan gagal menyesuaikan diri dalam kelab berkenaan.

Melihat kepada karier Undabarrena, kehadirannya bakal membawa kemeriahan di bahagian tengah memandangkan JDT sendiri sudah serba lengkap di posisi berkenaan.

458419255_1087020112793964_5859609878679459259_n

Undarbarrena sudah diturunkan dalam aksi persahabatan skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, terdapat sedikit kerisauan kerana pemain berusia 29 tahun itu pernah disisihkan sebanyak 26 kali dalam kempen La Liga 2015/16 ketika bersama Athletic Bilbao.

Kecederaan ligamen krusiat itu kemudian berulang pada musim berikutnya yang menyaksikan dia direhatkan selama 181 hari, bersamaan 25 permainan liga secara keseluruhan.

Meskipun isu berkenaan tidak lagi terjadi dalam tahun-tahun kebelakangan ini, pihak pengurusan JDT sudah tentu akan memberi tumpuan bagi memastikan Undabarrena dapat beraksi lebih kerap.

2. Enzo Lombardo

Seorang lagi rekrut yang disambar skuad Harimau Selatan ialah penyerang sayap, Enzo Lombardo yang boleh dikatakan pengganti tepat kepada Fernando Forestieri.

Pemain terbabit juga memiliki karier seakan-akan Undabarrena apabila kerap berpindah dalam kalangan pasukan kerdil sekitar Sepanyol walaupun dia merupakan produk bola sepak Perancis.

Namun, pengalaman itu tidak dapat memastikan kejayaannya dengan jaguh Liga Super itu kerana dia juga pernah mengalami beberapa siri kecederaan sepanjang kariernya.

458370369_1087020209460621_627974537681037872_n

Lombardo sudah tentu diharapkan menjadi tonggak baharu skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan laporan terdahulu, pada musim 2019/20, kecederaan kaki dialaminya berulang sebanyak tiga kali yang menyaksikannya tidak beraksi sebanyak 31 kali.

Ketiadaannya bersama Racing Santander jelas dirasai apabila pasukan itu bergelut di divisyen kedua Sepanyol sehingga menyebabkan mereka tergelincir ke liga bawahan.

Tetapi, JDT boleh menarik nafas lega apabila setakat ini, Lombardo tidak lagi mengalami siri kecederaan sama apabila dia dapat beraksi dengan kerap bersama SD Huesca sebelum merasmikan perpindahan ke skuad Harimau Selatan.

3. Eddy Israfilov

Pemain berdarah kacukan Azerbaijan-Sepanyol, Eddy Israfilov menjadi seorang lagi pilihan JDT pada jendela perpindahan kali ini apabila dia dibawa masuk dengan status ejen bebas.

Namun, seperti Lombardo dan Undarbarrena, dia juga memiliki rekod kecederaan yang sedikit merisaukan dengan salah satu daripadanya berlaku musim lalu.

Pemain tengah yang pernah beraksi di beberapa kelab Sepanyol, seperti SD Eibar dan Real Murcia itu pernah ketinggalan 47 perlawanan sepanjang kariernya.

458228529_1086562429506399_599973306561547937_n

Israfilov diharapkan tidak lagi mengalami masalah kecederaan bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ini termasuk kecederaan yang dialami bermula 1 Ogos sehingga 2 Oktober tahun lalu yang menyaksikannya tersisih dalam 11 aksi Liga Premier Azerbaijan buat Neftchi Baku.

Sekiranya pihak perubatan JDT dapat memulihkan kecederaan itu, Israfilov pasti akan menjadi seorang permata di bahagian tengah kelab Liga Super berkenaan di pentas ACL Elite.

Khidmatnya juga sudah tentu diharapkan dapat dicurah segera apabila pasukan itu sudah kehilangan Afiq Fazail yang dijangka berehat untuk satu tempoh panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram