MUSIM ini pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Heberty Fernandes bermula cemerlang apabila sudah meledak tujuh gol dan melakukan empat bantuan jaringan dalam 12 penampilan di semua kejohanan domestik Liga Malaysia (Liga M).
Meskipun sudah mencecah usia 36 tahun, ia tidak menghalang Heberty meneruskan rekod cemerlangnya di Liga Thailand untuk dibawa ke Malaysia musim ini.
Menyertai JDT pada musim lalu secara pinjaman daripada Bangkok United, Heberty tidak mengambil masa lama untuk meyakinkan pihak pengurusan Harimau Selatan menyambung khidmatnya musim ini.
BACA LAGI: 'Letak semua telur dalam satu bakul', jurulatih luar negara anggap RTG tiru China merugikan
BACA LAGI: Tak pernah wakil negara, media Australia bangga pencapaian Shane Lowry di Liga Malaysia
Walaupun menyertai JDT pertengahan musim lalu, Heberty menjaringkan 11 gol dan empat 'assist' dalam 20 penampilan bersama Harimau Selatan.
Ini membuktikan Heberty ialah seorang pemain berkualiti apatah lagi dia merekodkan 175 jaringan dan 55 bantuan gol sepanjang beraksi bersama beberapa kelab di Thailand.
Namun dalam waktu manisnya di Thailand, ada semusim yang mana Heberty tidak berjaya memikat hati pihak pengurusan iaitu ketika mewakili Port FC.
Heberty ketika mewakili Port FC pada musim 2020/21 di Liga Thailand. — Agensi
Pada musim 2020/21, Heberty yang dipinjamkan dari Muangthong United berjaya meledak tujuh gol dalam sembilan penampilan sebelum dia dipulangkan semula ke kelab asalnya.
Selepas keluar daripada Port FC, Heberty sekali lagi dipinjamkan ke Bangkok United pada 2020 sebelum memilih untuk kekal sehingga tahun lalu.
Bersama Bangkok, Heberty mencipta rekod jaringan yang baik iaitu 40 gol dan 14 'assist' dalam 82 penampilan.
Pertemuan JDT menentang Port FC dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor boleh menjadi medan Heberty untuk membuktikan kesilapan pasukan itu melepaskannya ialah kesalahan besar.
Port FC yang dibarisi bintang Asean seperti Irfan Fandi, Asnawi Mangkualam dan Worachit Kanitsribumphen pastinya mahukan kemenangan meskipun kehilangan pemain utama kerana menerima panggilan skuad kebangsaan negara masing-masing.
Pertemuan Port FC dan JDT juga antara persiapan awal Harimau Selatan untuk menghadapi cabaran Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2024/25 bulan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram