HARIMAU Malaya berjaya menepikan cabaran Filipina dalam separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 apabila mencatatkan kemenangan 2-1 dalam pertembungan yang berlangsung pada Rabu.
Gol daripada Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid membatalkan jaringan Jefferson Tabinas yang sekali gus memastikan skuad kebangsaan meraih slot ke perlawanan akhir pada Ahad ini.
Namun, perlawanan itu bukanlah sesuatu yang mudah buat pasukan negara yang sedikit bergelut apabila beberapa daripada pemain skuad The Azkals memiliki pengalaman beraksi di Liga Super.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah patah buku lali, pro-kontra Jesper Nyholm sertai Perak FC
BACA LAGI: Datang dengan tempang, Harimau Malaya tidak boleh ambil mudah Filipina
Arif Aiman (kanan) sememangnya seorang pemain sayap yang digeruni. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Salah seorang daripadanya ialah bek tengah, Jesper Nyholm yang beraksi untuk Perak FC sejak pertengahan musim 2023 dengan kehadirannya dalam pasukan Utara tanah air itu amat penting.
Jadi, tidak hairanlah apabila pemain pertahanan tersebut dapat menutup ruang tonggak Harimau Malaya sebanyak beberapa kali, termasuk Arif Aiman Hanapi yang sukar memberikan impak dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun, pertembungan antara mereka tidak akan terhenti di situ apabila selepas ini, kedua-dua pemain berkenaan akan bertembung dalam saingan Liga Super ketika skuad The Bos Gaurus (TBG) menerima kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Jadi, aksi Pestabola Merdeka itu sedikit sebanyak memberi bayangan mengenai cabaran bakal diberikan Arif Aiman kepada Nyholm yang juga sudah bersedia bagi perlawanan tersebut nanti.
"Dia (Arif Aiman) sangat pantas dan kita semua tahu akan perkara itu. Saya juga yakin kita semua tahu apa yang boleh dilakukannya. Jadi, kita perlu lebih aktif dan bersedia," katanya.
Nyholm merupakan tonggak pertahanan skuad TBG sejak menyertai pasukan itu. — Facebook/Perak FC
Perlawanan antara Perak FC dan JDT sudah berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada Ogos lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat keadaan padang yang berlecak susulan hujan lebat.
Oleh itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengumumkan satu tarikh baharu bagi memulakan semula aksi antara kedua-dua pasukan itu dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Nyholm yang sudah meraih tujuh penampilan buat Filipina sedikit kecewa apabila mereka tidak dapat memulakan persiapan lebih awal.
"Kami tiba di sini kira-kira dua hari sebelum perlawanan, ada juga yang tiba sehari sebelum perlawanan. Jadi, ia pasti sedikit sukar. Tetapi, ini adalah panggilan antarabangsa dan sesetengah mungkin dilepaskan lewat oleh kelab masing-masing," katanya.
Pemain berdarah kacukan Sweden-Filipina tersebut sudah mencatatkan 19 penampilan buat skuad TBG dengan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat melihat kepada sumbangannya dalam pasukan.
Meskipun tidak dapat mengubah struktur pertahanan secara menyeluruh, pengalamannya beraksi di Sweden dan Thailand membawa perbezaan buat Perak FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram