JENDELA perpindahan kedua yang sedang berlangsung dari 26 Ogos hingga 22 September menyaksikan beberapa pasukan Liga Super sedang aktif memburu pemain baharu bagi pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M) nanti.
Usaha mencari pemain baharu ini dilakukan pastinya untuk membantu mereka memperkuatkan dan menambah skuad depth pasukan masing-masing dan kembali memperbaiki kedudukan Liga Super.
Antara pasukan yang sedang tidak henti-henti mencari dan sudah pun mengumumkan pemain baharu mereka ialah Johor Darul Ta'zim (JDT). Harimau Selatan kini difahamkan berhasil menandatangani enam pemain baharu.
BACA LAGI: Budak baik’ Australia sah milik Harimau Kumbang, berat dan tinggi persis legenda kelab zaman 90-an
BACA LAGI: Kurang hangat diperkatakan, 3 perpindahan tak cukup saga termasuk bintang muda JDT
Bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong; Iker Undabarrena, Eddy Israfilov (pemain tengah); Enzo Lombardo, Jorge Obregon (penyerang) dan penjaga gol muda, Christian Abad.
Dalam kalangan enam bintang baharu JDT itu, Obregon yang baru sahaja menyertai JDT baru-baru ini paling mencari tumpuan susulan statusnya sebagai penyerang termahal saingan domestik ketika ini.
Hal ini kerana, perpindahan penyerang berusia 27 tahun itu dikatakan memerlukan Harimau Selatan melaburkan kira-kira €500,000 (RM2.4 juta) untuk menandatangani Obregon.
Selepas didedahkan oleh wartawan dari Croatia, Ivica Medo melalui satu hantaran di laman X pada bulan lalu, hasil semakan dari laman Transfermarkt turut menunjukkan skuad Harimau Selatan dikesan berbelanja 500,000 euro untuk mendapatkan khidmatnya.
Proses jual beli yang dilakukan JDT itu meletakkan Obregon sebagai penyerang termahal Liga M 2024 setakat ini dan melepas dua pemain dari Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
1) Reziq Bani Hani
Reziq Bani ketika ini sudah mencetak satu gol dan satu hantaran bantuan dalam tujuh aksi Liga Super setakat ini. — Facebook/SelangorFC
Walaupun Selangor FC sebelum ini enggan mengakui harga sebenar penyerang Jordan, Reziq Bani Hani namun khabar angin Gergasi Merah sanggup pecah tabung menandatangani pemain itu sudah tersebar di negaranya.
Memetik laporan dari media tempatan Jordan, Selangor difahamkan membayar sejumlah wang kepada Al-Faisaly untuk menebus kontrak Reziq Bani namun sehingga kini angka tersebut tidak didedahkan oleh kelab Lembah Klang berkenaan.
Laporan berkenaan membuatkan sesetengah penyokong membuat spekulasi bahawa Selangor sanggup berbelanja sehingga kira-kira RM500,000 untuk melihat pemain berusia 22 tahun menyarung jersi Gergasi Merah.
Angka yang mencecah setengah juta ringgit itu semakin diperkatakan oleh penyokong apabila laman Transfermarkt mendedahkan Selangor membayar kira-kira 150,000 euro (RM510,400) kepada Al-Faisaly.
Harga mahal Reziq Bani bagaimanapun dibalas dengan kualiti permainan yang berkualiti dengan pemain itu sering menjadi watak penyerang sayap yang akan memberi tekanan kepada lawan.
2) Sukhrob Nurullaev
Nurullaev tiba untuk menggalas posisi yang ditinggalkan Manuel Hidalgo. — Facebook/KDAFC
Kantung kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dikatakan belum stabil sejak awal musim namun masih menjadi persoalan bagaimana Sang Kenari menandatangani bintang import dari Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev.
Apa yang menarik mengenai kemasukan Nurullaev ialah Kedah difahamkan sanggup membayar kelab Uzbekistan, Nasaf Qarshi sebanyak 100,000 euro (RM513,104) untuk menebus kontrak pemain berusia 26 tahun itu.
Pada awalnya, kesanggupan Kedah membawa masuk Nurullaev dianggap berbaloi kerana pengalamannya yang pernah beraksi sebanyak enam perlawanan sambil menghasilkan dua gol ketika membantu Nasaf dalam saingan ACL.
Bagaimanapun kini, pemain yang menggantikan posisi Manuel Hidalgo itu tidak memberi kualiti yang sepatutnya apabila hanya mencatat satu hantaran bantuan dalam enam perlawanannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram