SORAKAN 'ekor' Harimau Malaya mengiringi kemenangan Malaysia apabila berjaya menempah slot ke final Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.
Perlawanan itu sedikit lengang apabila penyokong, termasuk dari kumpulan Ultras Malaya bertindak memboikot aksi tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak melunturkan 11 pemain di atas padang yang berjaya memastikan kemenangan untuk meletakkan Harimau Malaya ke final.
BACA LAGI: Makin kritikal, tak cukup boikot latihan, khabarnya pemain nekad tinggalkan Sang Kenari
BACA LAGI: 'Semua gambar Google rai gol', fans tak sabar tunggu perubahan 'besar' Harimau Kumbang
Skuad Harimau Malaya meraikan kemenangan apabila berjaya menempah tiket ke final Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM
Malah, sorakan meriah juga dapat kedengaran, terutamanya selepas skuad kebangsaan mendapatkan gol yang meletakkan mereka di hadapan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di gelanggang keramat Harimau Malaya itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus.
Meskipun tuan rumah dilihat melakukan percubaan demi percubaan ke arah pintu gawang lawan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan oleh skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Filipina berjaya mematahkan kebuntuan jaringan apabila pertahanan skuad kebangsaan, Feroz Baharudin melakukan kesilapan mudah apabila memberi gol percuma kepada lawan apabila menampan masuk bola ke gawang sendiri.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Nooa Laine yang menggantikan Afiq Fazail.
Malaysia mara ke final selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Filipina. — Facebook/FAM
Pertukaran itu dibuat selepas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan ketika Filipina melancarkan serangan yang menyaksikannya tidak dapat menamatkan permainan.
Afiq boleh dianggap sebagai enjin Harimau Malaya kerana kelincahan dan kesungguhannya memastikan skuad kebangsaan dapat beraksi dengan baik.
Malaysia yang enggan ketinggalan 0-1 akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Syamer Kutty pada minit-minit akhir babak pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat berkerja keras untuk menambah jaringan untuk menempah tiket ke final.
Bagaimanpun, kesilapan pertahanan Filipina yang mengasari pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti akhirnya membuka peluang kepada Malaysia untuk menambah jaringan.
Safawi Rasid selaku pemain gantian berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-73 sekali gus menyaksikan Malaysia mendahului 2-1.
Dengan kemenangan berharga itu, perlawanan akhir Pestabola Merdeka akan menyaksikan Malaysia bertemu Lubnan pada Ahad.
Dalam aksi yang berlangung lebih awal, Lubnan berjaya menewaskan juara edisi lalu, Tajikistan 1-0 menerusi tandukan Jihad Ayoub pada minit ke-13. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram