TONGGAK Filipina, Patrick Reichelt tidak dapat menyembunyikan rasa kecewannya terhadap persembahan pengadil ketika pertemuan Pestabola Merdeka menentang Malaysia pada Rabu.
Dalam pertemuan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Filipina dikatakan menjadi mangsa kepada beberapa keputusan meragukan oleh pengadil perlawanan.
Dari sudut pandang mereka, keputusan meragukan adalah ketika mereka dinafikan sepakan penalti namun apabila ia berlaku kepada Malaysia, ia diberikan.
BACA LAGI: Datang dengan tempang, Harimau Malaya tidak boleh ambil mudah Filipina
BACA LAGI: 'Messi Filipina', Jefferson Tabinas antara 3 pemain wajar disambar kelab Liga Super
Patrick Reichelt tidak gembira dengan keputusan pengadil Malaysia-Filipina.
Di media sosial, Reichelt yang merupakan pemain Kuala Lumpur City secara terbuka menyelar pengadil atas persembahan meragukan bertemu Malaysia.
"Saya faham kalau ada sedikit rasa pilih kasih terhadap pasukan tuan rumah, tapi ini terlalu jelas.
"Cubalah sorokkan dengan lebih baik. Mereka (Harimau Malaya) terang-terang ada beberapa kotak hadiah untuk diberikan kepada penyokong pada wisel penamat. Mesti mereka akan buat juga jika mereka kalah," kata Reichelt yang turut memerli Malaysia.
Reichelt turut meletakkan tanda pagar #WhatCanYouDo (apa kau boleh buat?) yang dipopularkan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kekalahan Filipina terhadap Malaysia memaksa mereka untuk beraksi dalam pertemuan tempat ketiga dan keempat menentang Tajikistan pada Ahad.
Perlawanan tersebut akan diadakan pada 4.30 petang sebelum aksi akhir untuk menentukan juara diadakan antara Malaysia dengan Lubnan bagi aksi sebelah malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram