Satu kehilangan besar dalam industri bola sepak, kelab Liga Malaysia hargai jasa Stuart


  • Podium
  • Khamis, 05 Sep 2024

Stuart melepaskan jawatan sebagai CEO MFL setelah tiga tahun memegang posisi itu. — Facebook/FAM

PENAMATAN kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam dianggap sebagai satu kehilangan besar dalam industri bola sepak.

Kredibiliti yang ada padanya juga tidak akan dilupakan meskipun beliau sah meninggalkan badan organisasi itu.

Susulan itu, beberapa rakan kongsi Liga Malaysia mengambil peluang berkongsi kesedihan dan penghargaan terhadap Stuart yang tidak menyambung kontraknya selaku CEO bersama MFL pada 31 Ogos lalu.

BACA LAGI: Bekas orang kuat La Liga dilantik jadi CEO MFL, ganti Stuart Ramalingam

BACA LAGI: Stuart Ramalingam nafi letak jawatan, masih komited sebagai CEO MFL

2785730

Datuk Stuart Ramalingam

Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong berkata, bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu telah banyak mambantu pihaknya terutamanya apabila XOX Berhad pertama kali menjadi pemilik kepada Perak FC dua tahun lalu.

"Sebelum ini, apabila XOX Berhad jadi pemilik kepada kelab Perak, sebagai kelab yang seperti dilahirkan semula, Datuk Stuart banyak membantu kami sebenarnya.

"Banyak menberi nasihat untuk memudahkan perjalanan kelab ini dan agak sedih apabila beliau sudah tidak lagi bersama MFL.

"Sudah tentu, kami semua akan merindui beliau dan Stuart telah menjadi rakan yang sangat baik kepada kami semua di kelab," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut menyatakan bahawa kehadiran Stuart ke MFL selama tiga tahun banyak membawa perubahan positif terutamanya daripada aspek komersial dan penjanaan hak penyiaran rasmi.

Katanya, Stuart memberi impak positif dan boleh menjana banyak pendapatan terutamanya daripada hak penyiaran jika dilihat daripada segi komersial dan kewangan kelab itu sendiri.

"Kehadiran Astro selaku penyiar rasmi juga dapat memberikan dana yang konsisten kepada kelab di mana pemberian hak penyiaran itu begitu konsisten sejak Stuart hadir ke MFL.

"Apa pun, satu kehilangan yang cukup besar kepada industri bola sepak dan saya nak ucapkan selamat maju jaya kepada beliau," jelasnya.

2897063

Giorgio Pompili sebelum ini merupakan delegasi LaLiga ke Malaysia selepas turut terlibat dengan beberapa kelab sekitar Eropah. — LinkedIn

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard juga senada apabila menyifatkan sumbangan yang telah diberikan Stuart kepada setiap kelab bertanding cukup berharga dan pasti akan diingatinya sentiasa.

Beliau bagaimanapun memahami bahawa jawatan itu boleh bertukar ganti pada masa sama memuji kehebatan Stuart apabila berjaya meletakkan MFL di tahap yang lebih baik.

"Dari hari pertama beliau mengambil tugas selaku CEO sebelum ini, beliau sudah ada pemahaman mengenqi acuan setiap kelab yang perlu diperhalusi.

"Itu kelebihan yang saya tengok ada pada beliau dan saya rasa ia adalah satu sumbangan besar telah dilakukan daripada Stuart kepada rakan-rakan kongsi liga selama ini," katanya.

Untuk rekod, Stuart memulakan tugasnya selaku CEO pada tahun 2021 dan bertugas selama tiga tahun di MFL.

Posisi itu kini diambil alih oleh bekas delegasi LaLiga, Giorgio Pompili Rossi selaku CEO yang baharu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram