PEMERGIAN Kim Pan-gon dari skuad kebangsaan meninggalkan kesan mendalam apabila penyokong menganggap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghargai kehadiran pengendali Korea Selatan itu.
Dia yang berjaya menaikkan kedudukan negara dalam ranking FIFA sepatutnya diberikan sokongan penuh dari pelbagai sudut dengan harapan cerah buatnya membawa perubahan terhadap Harimau Malaya.
Selain itu, kejayaannya menamatkan penantian skuad kebangsaan untuk layak secara merit ke Piala Asia seperti tidak dihargai apabila badan induk bola sepak negara tersebut kurang memberi bantuan kepadanya.
BACA LAGI: Dah happy di Ulsan, ekor HM desak Hamidin, FAM relakan pemergian Kim Pan-gon
BACA LAGI: Pau Marti kekal resipi Kim Pan-gon, rahsiakan taktikal Harimau Malaya untuk Pestabola Merdeka 2024
Pan-gon boleh dilabel sebagai salah seorang pengendali terbaik Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Jadi, tidak lama selepas Pan-gon melepaskan jawatannya, dia tampil memberi kenyataan dengan mengatakan bola sepak negara sepatutnya boleh melangkah lebih jauh sekiranya diberikan ruang sepatutnya.
Pandangan itu jelas memberi tamparan kepada FAM apabila orang ramai menyokong pandangan jurulatih berusia 55 tahun tersebut sambil turut mendesak rombakan dapat dibuat terhadap persatuan berkenaan.
Namun, sebelum episod antara Pan-gon dan Harimau Malaya bermula, dia pernah berdepan kritikan daripada peminat bola sepak negara apabila mempertikaikan gaya permainan skuad kebangsaan.
Kenyataan tersebut diberikan ketika dia mengendalikan Hong Kong menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 dengan jurulatih itu menganggap pendekatan taktikal pasukan negara kurang menarik.
Selain menganggap skuad kendalian Nelo Vingada kurang menyerang, Pan-gon juga melihat Harimau Malaya kurang digeruni sekiranya hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.
Pan-gon membawa perubahan ketara terhadap Harimau Malaya dalam tempoh dua tahun. — Facebook/FAM
Tidak cukup dengan itu, dia juga menegaskan Hong Kong merupakan pasukan pilihan menjelang aksi yang akan diadakan di negara Asia Barat itu pada 10 Oktober 2017.
Luahan berkenaan jelas memberi impak terhadap skuad kebangsaan apabila Pan-gon dan pasukannya berjaya meraih kemenangan 2-0 yang sedikit sebanyak meranapkan harapan negara untuk layak ke Piala Asia dua tahun berikutnya.
Gol daripada Jordi Parramo dan Jaimes McKee menyaksikan Harimau Malaya pulang tanpa sebarang hasil dengan ia juga merupakan kekalahan kedua dalam tiga perlawanan.
Bagaimanapun, selepas lima tahun memberikan kenyataan itu, kisah berbeza dapat disaksikan apabila Pan-gon dipilih untuk mengendalikan Harimau Malaya.
Meskipun tidak dapat membawa perubahan besar-besaran, kehadirannya menandakan era baharu dalam arena bola sepak tempatan apabila pasukan lain sekitar Asia mula memandang tinggi akan kebolehan skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram