SUKA atau tidak, majoriti penyokong tanah air menyuarakan pandangan berbeza terhadap kenyataan yang diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin mengenai bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamidin pada Khamis, dia menyifatkan Pan-gon sebagai tidak profesional susulan tindakan bekas pengendali kelahiran Korea Selatan itu meninggalkan Malaysia sehingga badan induk tersebut menjadi 'mangsa'.
Tanpa berselindung, Hamidin mengakui sedih dan kecewa dengan tindakan Pan-gon yang didakwa tidak menyatakan perkara sebenar dalam alasannya untuk meletakkan jawatan pada 16 Julai lalu hingga segelintir peminat menyalahkan FAM.
BACA LAGI: Bercuti atau tinggalkan Pahang selamanya? Kehadiran striker Tok Gajah di Eropah timbul tanya
Pau Marti (kanan) kini menggalas tugas sebagai pengendali sementara Harimau Malaya. — FAM
Hamidin berkata, dia sangat kecewa apabila peminat dan penyokong menghentam FAM kerana tidak mempertahankan pengendali dari Korea Selatan itu.
Jelas Hamidin, sebenarnya Pan-gon meminta untuk dilepaskan atas alasan isu keluarga namun hakikatnya pengendali itu sudah membuat perjanjian dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Ujarnya, situasi itu sebenarnya menyalahi dan melanggar kontrak kerana Pan-gon seharusnya kekal membimbing pasukan sehingga hujung tahun depan.
Bagaimanapun, rata-rata penyokong tanah air tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dilontarkan oleh Hamidin itu.
Tidak kurang juga ada yang mahu agar Hamidin merelakan pemergian Pan-gon yang kini dilihat sudah gembira dengan pasukan baharunya iaitu Ulsan Hyundai.
"Sudah-sudahlah ganggu dia, dia dah happy di Ulsan, mungkin sebab pemilihan pemain wakil negara yang terhad menyebabkan dia kecewa," kata Shafollizam Shafie.
"Habis madu sepah dibuang, time depan-depan mulut manis, orang tu dah pergi, itu ini tak profesional," kata Haspul Nizam Deraman.
"Sudah lepas baru berani nak cakap, member tu dah happy dah dengan Ulsan di Korea," kata Suhaimi Abu Bakar.
Jawatan Pan-gon kini digalas Pau Marti sementara bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo juga disahkan berada dalam radar FAM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram