'CEO kelab lokal boleh apply', Reduan cadang Selangor dan JDT boleh cuba jaga 'national team'


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Tunku Ismail memberi cadangan agar pasukan kebangsaan bergerak secara berasingan.

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan supaya pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau dalam erti kata lain diswastakan.

Perkara itu disuarakan Tunku Ismail sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berkongsi perkara itu di laman sosial miliknya dengan menunjukkan sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas berkenaan.

BACA LAGI: Macam Kobe Jae Chong, Selangor hantar ejen 'follow' rapat perkembangan Mats Deijl

BACA LAGI: [VIDEO] Garang 'mengaum' di JDT, Heberty ada peluang bukti Port FC pernah buat silap

Berdasarkan dokumen itu, organisasi berkenaan akan diketuai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Teknikal.

Ia akan dibantu beberapa pegawai termasuk Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi & Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.

Badan bebas ini akan memantau segala operasi melibatkan skuad kebangsaan.

Ini dilakukan bagi mewujudkan satu unit berprestasi tinggi yang akan mempunyai budaya bola sepak yang bersesuaian dengan Malaysia dan juga mencari pemain-pemain baharu dan warisan bagi menambah kekuatan Harimau Malaya.

Reduan

Reduan Abdullah.

Bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya, Reduan Abdullah, berpendapat lantikan CEO perlulah individu yang mahir tentang selok-belok pengurusan dan berpengalaman dalam bola sepak.

Reduan yang memilih untuk tidak menyebut mana-mana individu mahu individu yang berada di kerusi tersebut tahu budaya bola sepak negara meskipun dia merupakan pakar dari luar negara.

"Walaupun dia orang luar, individu itu perlu tahu struktur dan polisi dalam skuad kebangsaan macam mana.

"Individu itu haruslah yang berpengalaman dalam bola sepak dan tahu macam mana nak menguruskan pasukan.

"Mungkin pakar dari luar negara itu bagus, tapi disebabkan dia tidak sesuai dengan budaya bola sepak Malaysia nanti perancangan yang dilakukan tidak menjadi," katanya kepada Majoriti.

Alistair

Alistair Edward merupakan CEO JDT yang berjaya membantu kelab itu menjuarai Liga Super selama sedekad.

Tambahnya lagi, CEO kelab-kelab Liga Super mungkin boleh menawarkan diri untuk menduduki jawatan itu tapi Reduan berpendapat perlu ambil individu daripada pasukan yang 'well managed'.

"Saya rasa CEO kelab-kelab Liga Super mungkin boleh hantar borang untuk cuba nasib duduk di jawatan itu.

"Terpilih atau tidak, itu nombor dua, tapi pandangan saya lebih baik melantik CEO daripada kelab yang sudah 'sustain' dan 'well managed'.

"Di sini saya melihat hanya JDT dan Selangor mempunyai kapasiti daripada 'sustain' dan 'well managed' itu," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-09-04 at 4.20.15 PM

​​​​​Cadangan yang dimuat naik oleh Tunku Ismail dalam Instagram.

Sebelum ini, cadangan sama pernah dibangkitkan namun ia mendapat tentangan hebat pemerhati dan bekas pemain kebangsaan.

Terdahulu, Anwar mengumumkan durian runtuh buat pasukan negara dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Dimaklumkan RM10 juta datangnya daripada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan manakala baki RM5 juta lagi merupakan tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.

Pengumuman itu dilakukan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram