SIAPA sangka, bermula sebagai pembancuh simen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahmad Altajuddin Mohamathu kini menjadi antara kontraktor bumiputera yang berjaya di negeri Pahang.
Berkat disiplin, kecekalan dan kebijaksanaan figura berkulit hitam manis itu menyaksikan perniagaannya sebagai kontraktor kejuruteraan awam semakin menembusi pasaran, hingga syarikat WHA Group Holdings Sdn Bhd berkembang jayanya dengan nilai pendapatan tahunan antara RM11 juta hingga RM15 juta.
Untuk sampai ke puncak, pastinya langkah yang diatur tidak semudah disangka.
BACA LAGI: MBPG bakal laksana kajian berskala besar atasi isu kesesakan jangka masa panjang
BACA LAGI: Sukar cari tukang elektrik ketika PKP pencetus idea suami isteri cipta aplikasi kerja sambilan
Ahmad Altajudddin (tengah) ketika hadir ke konti Suria.fm di Menara Star, Petaling Jaya.
Dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dan mempunyai lapan adik-beradik memotivasikan kontraktor berusia 46 tahun itu untuk mengubah nasib keluarga.
Kepada Majoriti Ketua Pegawai Eksekutif WHA Group Holdings Sdn Bhd itu berkongsi, beliau berkecimpung dalam bidang pembinaan seawal usia 17 tahun, selepas berhijrah ke ibu kota pada tahun 1995, untuk bekerja sebagai pembancuh simen bagi pembinaan KLIA.
"Saya diajar proses membasuh simen dan selepas selesai projek di situ, saya dibawa ke Pasir Gudang, Johor untuk bekerja di sana sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.
"Bermula dari situ, saya menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang pembinaan," katanya yang pernah bekerja di sebuah kedai runcit di kawasan perumahannya ketika berumur 15 tahun, dengan gaji RM180 sebulan.
Hidup berjauhan bersama keluarga, anak ketiga daripada lapan beradik itu tidak lari daripada memikirkan keadaan orang tuanya.
Syarikat milik Altajuddin berhasil menyiapkan Balai Bomba Bandar Tenggara, Bandar Tenggara, Johor kira-kira empat tahun lalu.
Justeru anak jati Felda Seri Pagi, Jengka 17, Bandar Pusat Jengka, Pahang itu kemudian mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung halamannya dan bekerja di sebuah kilang simen di Bentong, Pahang.
Selepas beberapa tahun, beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai pengurus jualan untuk bertugas dalam bidang pemasaran.
"Ketika itu saya belajar bagaimana hendak mencari, menarik dan berbincang dengan pelanggan agar menggunakan perkhidmatan kita.
"Lama-kelamaan saya berfikir, kerja sekadar makan gaji sebenarnya tidak cukup untuk menampung keperluan hidup isteri, anak dan ahli keluarga yang lain.
"Dari situ saya mengatur langkah untuk menerokai bidang perniagaan pembinaan, bermula dengan lesen kontraktor G1, iaitu lesen khusus yang membenarkan kontraktor melaksanakan kerja kejuruteraan am," ujar bapa kepada seorang anak perempuan berusia 21 tahun itu.
Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Projek dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu mengakui, keputusan mengusahakan bisnes sendiri turut diambil selepas melihat kurangnya syarikat berasaskan pembinaan dimiliki oleh golongan bumiputera.
Dari situ terlahirlah syarikat Warisan Haji Ali Enterprise, yang beroperasi di Temerloh, Pahang pada tahun 2007, sebelum akhirnya ditukar kepada WHA Group Holdings Sdn Bhd pada tiga tahun lalu.
Masjid Baru Kampung Som di Jerantut siap dibina kira-kira tiga tahun lalu.
Anak Felda
Sebagai anak jati Felda, Ahmad Altajuddin turut menyimpan hasrat untuk berbakti semula kepada masyarakat dan kawasan yang telah menabur bakti kepada dirinya sekeluarga.
Beliau tidak menafikan bahawa Felda agak ketinggalan dari segi infrakstuktur.
"Jadi saya melihat ini adalah peluang untuk kita bangun dan majukan kawasan ini.
"Saya beri idea kepada pengurus Felda untuk membuat penambahbaikan seperti masjid, jalan, air dan sekolah.
"Selepas peruntukan diluluskan kerajaan, kita cuba perbaiki sebaiknya untuk manfaat komuniti Felda," kongsinya.
Ahmad Altajuddin meluahkan syukur berikutan melihat perubahan positif Feldanya, tahun demi tahun.
"Sebelum ini, sejak lebih 30 tahun lalu, jalan raya tidak pernah berturap.
"Sedangkan ia merupakan jalan utama yang digunakan anak peneroka untuk ke sekolah.
"Selain jalan, kita juga menambah baik fasiliti dan tahap keceriaan di sekolah agar murid lebih bersemangat untuk menimba ilmu," katanya yang terpaksa berhenti sekolah semasa darjah enam atas faktor kewangan.
Proses pembinaan dewan Felda Kota Gelanggi, Jerantut yang dikendalikan syarikat milik Altajuddin.
Ditipu konsesi
Berkongsi antara cabaran yang pernah dihadapinya sepanjang menelusuri perniagaan ini, beliau yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek di Universiti Malaya (UM) itu mengakui, pelbagai ujian pernah dilaluinya termasuk syarikat mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juta selepas ditipu sebuah syarikat konsesi berhubung satu projek penyelenggaraan jalan, pada tahun lalu.
Enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Ahmad Altajuddin bagaimanapun hanya mampu berlapang dada dan menganggap ia sebahagian asam garam dalam berniaga.
"Memang pedih namun bila fikir semula, mungkin itu bukan rezeki, ALLAH SWT nak duga saya," ujarnya sambil memberitahu antara projek mega pernah dilaksanakannya termasuk menyiapkan Balai Bomba Bandar Tenggara, Bandar Tenggara, Johor kira-kira tiga tahun lalu.
Ditanya bagaimana mengekalkan kepercayaan klien terhadap servisnya, tuturnya secara rendah diri: "Berpeganglah kepada amanah dan disiplin."
Itulah pegangan yang turut dititipkan buat isteri dan anak yang juga kini bersama-sama membantunya mengembangkan perniagaan.
"Kalau nak kekalkan kepercayaan klien, kena buat dengan bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Jika hasil kerja sempurna dan berjaya, nama (syarikat) kita akan cantik dan ada kredit yang akan diperoleh.
"Itu salah satu penyumbang untuk mendapatkan projek akan datang.
"Apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sesuatu projek, yang pertama perlu bersyukur dengan rezeki.
"Kedua kena amanah, jujur dengan diri sendiri. Sampaikan kerja dengan sempurna, jangan ada unsur menipu dan penting untuk sentiasa jaga kualiti," pesan Altajuddin yang tidak lekang dengan senyuman.
Beliau dalam pada itu turut menyuarakan impian untuk membina sebuah pusat rawatan dialisis dengan bayaran yang lebih murah bagi memudahkan pesakit tanpa mengira latar belakang ekonomi mendapatkan rawatan.
"Itu adalah impian yang saya kira masih belum tercapai, namun ketika ini memang saya dalam perancangan untuk merealisasikan hasrat itu," bicaranya.
WHA Group Holdings Sdn Bhd merangkumi perkhidmatan termasuk pembinaan sivil dan bangunan, servis mencuci bangunan dan klinik serta perkhidmatan dan pembekalan barangan serta makanan.
Sehingga kini, antara masjid yang pernah dikendalikan di bawah syarikat Ahmad Altajuddin termasuk Masjid Felda Bukit Tajau, Maran; Masjid Taman Bukit Bendera Mentakab; Masjid Kampung Som dan Masjid Kampung Gajah Mati di Jerantut dan terkini Masjid Sungai Lembing Kuantan yang dijangka siap pada penghujung 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram