MENJELANG Kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang membuka tirainya pada Rabu, 'ekor' Harimau Malaya berpendirian teguh untuk tidak hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.
Kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu akan menyaksikan gelanggang keramat Harimau Malaya bakal 'sunyi' tanpa 'pemain ke-12'.
Malah dalam perkembangan terbaharu di media sosial, jualan tiket perlawanan antara Malaysia berdepan Filipina dilaporkan tidak begitu memuaskan.
BACA LAGI: Kurang hangat diperkatakan, 3 perpindahan tak cukup saga termasuk bintang muda JDT
Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Malaya menjelang Kejohanan Pestabola Merdeka yang pastinya mahu meraih keputusan positif berdepan Filipina. — Facebook/FAM
Difahamkan, jualan tiket bagi aksi Harimau bertemu Filipina tidak sampai 1,000 keping yang dapat dijual.
Sebelum ini, gerakan ultras merancang untuk memboikot kejohanan tersebut selepas kecewa dengan situasi semasa bola sepak tempatan membabitkan skuad kebangsaan dan liga tempatan.
Gerakan ultras itu melancarkan kempen curva off dengan kesemua gerakan ultras di peringkat negeri yang bernaung bersama UM seperti Ultras Panthers (Penang FC), Kuala Lumpur Ultras (Kuala Lumpur City FC) dan North Borneo Ultras (Sabah FC) tidak akan turun ke SNBJ.
Meskipun begitu, ada juga penyokong yang mendedahkan bahawa tindakan mereka bukanlah tidak menyayangi pasukan kebangsaan namun tidak berpuas hati dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong tanah air mengambil keputusan untuk tidak hadir ke stadium.
"Boikot bukan tanda benci, tetap sebab sayanglah, fans nak perubahan secara total, bukan terus disuap dengan aya-ayat cliche," kata Andika Tirana.
"Bukan sebab tak sayangkan Harimau Malaya tapi kerana Midin yang tak sedar diri dan gagal," kata Mohamad Hilman.
"Boikot Pestabola Merdeka sebab Midin dan kroninya saja, kami masih sayangkan Harimau Malaya," kata Izzudin Ramli.
Pestabola Merdeka kali ini menampilkan empat pasukan iaitu Malaysia, Filipina, Lubnan dan Tajikistan.
Malaysia akan bertemu Filipina, manakala Tajikistan berdepan Lubnan pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram