Pau Marti kekal resipi Kim Pan-gon, rahsiakan taktikal Harimau Malaya untuk Pestabola Merdeka 2024


  • Podium
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Pau Marti mengumumkan skuad Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka 2024

PENGENDALI interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengekalkan skuad Kim Pan-gon dengan menambah tenaga pemain muda menjelang kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung pada bulan depan di Wisma FAM, Petaling Jaya pada Rabu.

Pau Marti membariskan pemain muda seperti Harith Haiqal, Muhd Haqimi Azim, Nooa Laine dan Muhd Adib Ra’op yang cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Selain itu, jurulatih kelahiran Sepanyol tersebut turut mengekalkan skuad lama Kim Pan-gon dengan Paulo Josue menjadi pemain paling senior dalam Harimau Malaya untuk Pestabola Merdeka kali ini.

BACA LAGI: 'Saya dan keluarga merana dalam diam', Antony bebas dakwaan serang bekas kekasih

BACA LAGI: Pertembungan 'reunion' ex import, Svay Rieng bawa rekod cemerlang jumpa Terengganu

Bekas jurulatih FC Barcelona itu turut menegaskan pemilihan skuad kali ini berdasarkan minit permainan setiap pemain dalam Liga Super.

"Kami percaya mereka adalah pemain yang terbaik ketika ini untuk membantu kami mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Kami memilih pemain yang berpengalaman dan muda untuk belajar dan bersedia pada bila-bila masa apabila dipanggil kelak.

"Seperti yang anda lihat di senarai, hampir semua pemain beraksi 75 peratus minit permainan pada bulan lalu, Liga Super adalah kejohanan yang bagus jadi saya rasa ia baik untuk skuad kebangsaan," katanya dalam sidang media pengumuman skuad Harimau Malaya ke Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM pada Rabu.

Pau Marti menegaskan untuk tidak berkongsi sebarang idea dan taktikal kepada umum namun memberi bayangan sistem diterapkan Kim Pan-gon sebelum ini sudah ada dalam Harimau Malaya.

"Pertama sekali saya sudah berada di sini (Malaysia) dua tahun lebih dan saya rasa sistemnya sudah ada di situ (skuad kebangsaan).

"Semua barisan jurulatih tetap sama cuma ada penambahan dengan Juan Torres Garrido sebagai pembantu jurulatih.

"Setiap jurulatih ada idea dan metodologi sendiri dan kami sedang menilai pemain apa yang boleh diberikan terhadap persembahan terbaik mereka.

"Tetapi saya tak akan kongsi taktik dan perancangan saya kerana itu apa yang perlu kami bincang bersama barisan jurulatih dan pemain," jelasnya.

Mengulas tentang kempen boikot yang dilakukan oleh pemain ke-12 Harimau Malaya, Ultras Malaya, Pau Marti berharap kedatangan penyokong mampu menyerikan lagi atmosfera perlawanan skuad kebangsaan.

"Bagi pihak kami, kalau boleh nak semua (penyokong) datang beri sokongan. Kita mempunyai stadium yang besar dan boleh mencipta atmosfera yang bagus.

"Jadi kami mahu setiap perlawanan 'full house' dengan sokongan penyokong," ujarnya.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu separuh akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, pukul 9 malam.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari sama, pukul 4.30 petang.

Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di final pada Ahad, 8 September 2024, pukul 9 malam manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama, pukul 4.30 petang.

Pestabola Merdeka 2024 merupakan antara persiapan awal skuad Harimau Malaya sebelum saingan kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 bermula hujung tahun ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram