Ex keeper TRW bantu kelab amatur Lembah Klang rangkul kejuaraan, tak terburu-buru pulang ke Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Irfan Haikal meraih pengalaman cukup pahit sepanjang semusim beraksi untuk skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC

SEHINGGA hari ini, 'luka' dialami pemain Kelantan FC daripada saingan Liga Super 2023 masih kelihatan apabila hampir kesemua daripada mereka seakan-akan trauma untuk beraksi secara kompetetif.

Kelab yang layak dilabel antara pasukan terburuk dalam sejarah pertandingan kini tidak lagi bersaing dalam divisyen teratas bola sepak tanah air selepas gagal memperolehi lesen Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Perkara itu menyaksikan hampir kesemua daripada bintang yang cuba menghidupkan pasukan itu terus hilang dalam bayang sendiri walaupun sudah menyertai pasukan baharu.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya cinta kontrak, 3 pemain TRW Kelantan pernah bikin penyokong jatuh hati waima sekejap

BACA LAGI: Lepas Annuar Musa, legenda kelab kena 'sekolah' beri idea tak relevan nak bela nasib TRW

Selangor_Kelantan_Liga-Super_Astro-Arena

Irfan Haikal (kanan) sudah tentu tidak dapat melupakan kekecewaan daripada aksi tersebut.

Bagaimanapun, sesetengah daripada bekas pemain skuad The Red Warriors (TRW) itu masih cekal dalam karier masing-masing meskipun terkesan dengan episod mengerikan itu.

Antara yang kini berusaha untuk bangkit ialah penjaga gol pasukan, Irfan Haikal Iffendi selepas meninggalkan Kelantan FC dan menyertai sebuah kelab amatur di Selangor, PSM FC.

Penyertaannya dalam pasukan itu jelas membuahkan hasil apabila dia berjaya membantu membawa mereka ke tahap lebih tinggi menggunakan pengalamannya beraksi di Liga Super.

"Bagi musim 2024, PSM FC menyertai 2 kejohanan iaitu Liga Euro Serenia RAFA Cup dan Liga Super Selangor. Bagi kejohanan liga RAFA Cup di Serenia City, Dengkil, PSM FC merangkul kejuaraan pada 25 Ogos setelah menewaskan Torai FC di pentas final. Kejohanan itu disertai 16 pasukan dari seluruh negara dan saya dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Alhamdulillah..Alhamdulilah.AlhamduillahWe WON!!We Are The Champion!!! (1)

PSM FC menjuarai Liga Euro Serenia RAFA Cup yang disertai 16 pasukan seluruh negara. Instagram/PSM FC

"Bagi penyertaan sulung PSM FC di pentas Liga Super Selangor, PSM menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik kejohanan dengan ia disertai 12 pasukan terbaik sekitar Lembah Klang," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, kejayaan dalam kedua-dua pertandingan itu menjadi satu semangat buatnya untuk terus bangkit bersama-sama pasukannya pada tahun-tahun mendatang.

Irfan Haikal sememangnya diingati sukar dilupakan peminat bola sepak tanah air selepas dia mengalami kekecewaan susulan kekalahan 2-11 dialami Kelantan FC kepada Selangor FC musim lalu.

Keputusan itu sukar diterima penjaga gol muda tersebut apabila dia terduduk sambil mengalirkan air mata sehingga terpaksa ditenangkan pemain skuad Gergasi Merah.

Alhamdulillah..Alhamdulilah.AlhamduillahWe WON!!We Are The Champion!!!

Irfan Haikal (kiri) meraih anugerah penjaga gol terbaik dalam Liga Euro Serenia RAFA Cup. Instagram/PSM FC

Meskipun sukar diterima, Irfan Haikal masih tabah merekodkan beberapa penampilan dalam kempen Liga Super sebelum akhirnya menamatkan kontrak bersama kelab Pantai Timur tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai harapannya untuk kembali ke divisyen teratas bola sepak tanah air, pemain berusia 23 tahun berkenaan enggan mengambil langkah secara tergesa-gesa.

"Niat untuk kembali ke Liga Super itu pasti ada, tetapi saya perlu mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum saya berfikir dan saya tidak mahu terburu-buru untuk bermain dalam Liga Malaysia. Insya-ALLAH jika ada pasukan buat tawaran kepada saya.

"Buat masa sekarang, saya lebih fokus kepada hala tuju pasukan bersama pihak pengurusan yang berhasrat untuk kembali mewarnai dunia bola sepak Malaysia dengan keberadaan dan kehadiran pasukan seperti satu masa dahulu," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram