Lepas Annuar Musa, legenda kelab kena 'sekolah' beri idea tak relevan nak bela nasib TRW


  • Podium
  • Selasa, 28 Mei 2024

Skuad TRW pernah bergelar pasukan terbaik tanah air sebelum terjerumus ke dalam pelbagai kemelut dalaman.

NASIB dialami skuad The Red Warriors (TRW) sememangnya meruntun hati pelbagai pihak apabila mereka boleh dikatakan sudah lesap daripada arena bola sepak tempatan.

Selepas 'dimalukan' dengan keputusan mengecewakan musim lalu, harapan mereka untuk menyertai Liga Super 2024/25 tidak kesampaian berikutan kegagalan mendapatkan lesen daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Masalah terus dialami Kelantan FC selepas mereka turut dihalang daripada menyertai Liga A1 Semi Pro atas sebab jumlah pemain tidak mencukupi, sekali gus menyekat pasukan itu beraksi secara profesional mahupun amatur.

BACA LAGI: Lahir dari sistem bola sepak Kelantan, Muhaimin Izuddin kecewa TRW tarik diri

BACA LAGI: Komen jutawan bukti Vida serius mahu beli Kelantan dari Zamsaham

2096971

Norizam didesak pelbagai pihak untuk melepaskan skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Perkhabaran itu mendapat respons pelbagai pihak dengan penyokong bola sepak tanah air cukup terasa dengan ketiadaan kelab Pantai Timur berkenaan yang pernah berada di persada tidak lama dahulu.

Malah, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa turut sama memecahkan kebisuan mengenai nasib skuad TRW dengan dia mahu pasukan berkenaan dilepaskan pemiliknya, Norizam Tukiman.

Namun, luahan yang disampaikan di Facebook peribadinya itu tidak menerima sambutan menggalakkan daripada penyokong Kelantan sendiri yang beranggapan pandangan bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut turut terlibat dalam kejatuhan kelab.

Bagi mereka, keputusan Annuar untuk meninggalkan Kafa ketika berada dalam kemelut pada 2016 membuatkan orang ramai mendesaknya agar berdiam diri dan tidak perlu mencampuri urusan semasa.

Situasi sama turut dialami Badhri Radzi yang merupakan bekas tonggak skuad TRW dengan dia merupakan watak utama ketika kegemilangan pasukan berkenaan.

WhatsApp Image 2024-05-28 at 09.55.11

Badhri (kiri) dan Annuar merupakan dua individu utama ketika zaman kegemilangan Kelantan. Harian Metro

Ini selepas pemain yang juga dikenali sebagai Piya itu mahu pihak pengurusan Kelantan, terutamanya Norizam melepaskan semula kelab itu dan dikembalikan ke pangkuan Kafa.

Bagaimanapun, rata-rata penyokong beranggapan apa yang disampaikan adalah tidak searus dengan pandangan khalayak kerana penyokong berasakan hak pemilikan tidak boleh ditukar milik begitu sahaja.

"Piya ni bagus bermain bola, tetapi tak tahu hal bisnes. Ini bukan pasukan yang diuruskan kerajaan negeri, itu pun tidak uruskan hal pembayaran gaji dengan baik.

"Cuba cadangkan sesiapa yang boleh beli dalam kalangan anak Kelantan yang jutawan atau ada mana-mana Yang Berhormat (YB) berpakat beli saham pasukan," kata Hasbullah Sapii.

"Dia (Norizam) beli dengan harga mahal menggunakan duit saham berjuta-juta ringgit. Selepas itu, anda mahu dia lepaskan begitu sahaja dengan hutang lama sudah diuruskan. Awak legenda Piya, sepatutnya tahu masalah dialami," kata Bamba Rmon.

11230915_1001409919882822_7034106413114928084_n

Badhri boleh dianggap sebagai legenda Kelantan FC. Facebook/Silent Clicks Photography

"Macam mana nak lepaskan kalau tiada pembeli? Dia bukan Presiden Kafa boleh desak untuk lepaskan jawatan, dia pemilik kelab. Bawalah sesiapa yang bersedia nak ambil alih dan bincanglah sebaiknya," kata Abemie FxTrader.

Norizam menjadi pemilik Kelantan FC empat tahun lalu selepas melaburkan wang jutaan ringgit bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pernah dialami mereka.

Bagaimanapun, kegagalan mendapatkan pelabur pada 2023 menyebabkan skuad TRW terjerumus ke dalam kemelut kewangan sehingga membuatkan mereka lesap daripada dunia bola sepak.

Untuk rekod, Badhri sebelum ini pernah beraksi pada era kegemilangan kelab, termasuk ketika pasukan itu menjuarai gelaran treble pada 2012. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram