Selain Mat Don, 3 lagi bintang 'buangan' pendam hasrat kembali ke Liga M


  • Podium
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Liridon (tengah) pernah menjadi tonggak utama KDA FC. — The Star

BARU-BARU ini, pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi, seperti nekad mahu menyarung kembali jersi pasukan kesayangannya, Kedah Darul Aman FC, selepas menyaksikan kekalahan kedua berturut-turut kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.

Pemain yang mesra disapa sebagai Mat Don itu meluahkan hasratnya dalam ruangan komen Instagram rasmi @kedahdarulamanfc untuk memanggilnya semula bermain bersama kelab tersebut.

Liridon menjawab persoalan peminat itu dengan khabar gembira kerana dia sentiasa berharap dapat kembali ke Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Makin pudar sayang, import Korea disebut fans punca The Rhinos tersungkur di laman sendiri

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan gagal tapi belum berjaya dapat emas Olimpik, Hannah Yeoh minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia

Liridon

Liridon meluangkan lima tahun bersama skuad Sang Kenari sebelum berkelana ke Melaka United pada 2019.

Pemain berusia 32 tahun yang bergelar ejen bebas itu jelas mahu membantu skuad Sang Kenari memperbaiki prestasi dalam baki saingan liga.

Dengan luahan hati tersebut yang mencuri tumpuan penyokong tanah air, pastinya ramai fans terlepas pandang mengenai beberapa bintang Liga Malaysia (Liga M) yang pernah menyimpan hasrat untuk kembali beraksi bersama pasukan tanah air.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga bintang yang pernah memasang cita-cita untuk kembali beraksi dalam Liga M.

Nixon

Nixon hanya berjaya merekodkan empat gol dalam 12 aksi Liga Perdana musim 2022. — Facebook/TRW Kelantan FC

1. Nixon Guylherme

Bekas penyerang import Brazil, Nixon Guylherme pernah meluahkan hasratnya untuk kekal beraksi dalam saingan Liga M.

Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini dibawa masuk sebelum permulaan musim 2022 selepas muncul sebagai antara pemain terbaik Liga Bangladesh bersama Chittagong Abahoni.

Sebelum ini, Nixon pernah mendedahkan secara ringkas kepada Majoriti bahawa dia akan terus kekal di Malaysia.

Bukan itu sahaja, Nixon juga dilihat sering menyarung jersi Kelantan ketika ini yang sekali gus memberi gambaran bahawa dia sememangnya merindui Malaysia.

Begitu pun, prestasi dan reputasi itu yang ditampilkan olehnya tidak berjaya disambung di kelab Pantai Timur itu apabila dia hanya berjaya mencatatkan 12 penampilan dengan empat gol berjaya dijaringkan.

Lee Tuck

Kelab terakhir yang diwakili Lee Tuck ialah KDA FC yang ditinggalkannya kira-kira pada Jun 2023.

2. Lee Tuck

Bekas 'arkitek' Terengganu FC (TFC), Lee Tuck sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dia bersedia kembali menyarung jersi skuad Penyu pada musim ini sekiranya mendapat tawaran daripada pasukan itu.

Menurut bekas pemain Harimau Malaya itu, banyak kenangan indah bersama pasukan itu selain dua anaknya iaitu Ruby Sofia dan Sienna Mae lahir di Kuala Terengganu membuatkan pemain berusia 36 itu rindu untuk berbakti semula bersama skuad Penyu.

Malah Tuck turut mengakui isterinya, Georgia Madelela, 34, juga turut gembira menetap di bumi Terengganu biarpun kini tinggal di England bersamanya.

Bagaimanapun Tuck yang kini bergelar ahli perniagaan dalam sektor hartanah di England akui perlu menilai terlebih dahulu jika ada tawaran daripada pihak pengurusan TFC ataupun kelab lain dalam Liga M sebelum membuat keputusan muktamad.

Untuk rekod, Tuck mula menyarung jersi Sang Penyu bermula 2018 hingga 2020 sebelum kembali sebagai pemain pinjaman pada 2022.

Selain Sang Penyu, pemain kelahiran Halifax, England itu pernah menyarung jersi Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan skuad kebangsaan.

Yazan

Yazan (berjersi nombor lima) berkhidmat untuk Selangor pada musim 2022 hingga Oktober 2023. — Facebook/SelangorFC

3. Yazan Al Arab

Bekas pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab mengakui sangat rindu akan suasana di Malaysia serta para penyokong bola sepak Gergasi Merah.

Bersama Selangor FC selama dua musim, Yazan mencetak tiga gol buat Gergasi Merah.

Begitu pun, pada 24 September 2023, tindakan emosi Yazan yang menendang pengadil selepas aksi suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Selangor FC jelas membawa padah.

Dalam insiden di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor, pemain antarabangsa Jordan itu melakukan kekasaran ke atas Hasrol Mohd Amir sebagai tanda protes selepas layangan kad merah.

Justeru, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bek tengah itu dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dalam negara pada 20 November lalu.

Untuk rekod, Yazan beraksi selama dua musim bersama-sama Selangor dengan pertahanan tengah itu menyertai mereka pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram