PELUANG luas masih terbuka untuk Terengganu FC mahupun Selangor FC untuk ke pentas akhir Piala FA 2024 meskipun skuad Sang Penyu meraih kemenangan di laman sendiri pada Julai lalu.
Bekalan 3-2 yang direkodkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu boleh dianggap belum mencukupi melihat kepada prestasi skuad Gergasi Merah di tempat sendiri.
Enam kemenangan berturut-turut dengan catatan jaringan yang memuaskan sudah cukup merunsingkan ketua jurulatih skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner untuk ke pusingan seterusnya.
BACA LAGI: Kedah ada peluang, tapi 'man to man' JDT tetap jadi pilihan ke final Piala FA
BACA LAGI: Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA
Terengganu FC meraih kemenangan dalam pertembungan pertama separuh akhir. — Facebook/Terengganu FC
Perkara itu bukan sahaja difikirkan pengendali kelahiran Croatia tersebut memandangkan terdapat rekod kurang memuaskan pernah dicatatkan Terengganu FC setiap kali mereka beraksi di separuh akhir.
Hal tersebut tidak terbatas dalam saingan Piala FA, namun nasib buruk seperti lebih kerap berlaku setiap kali mereka bersaing dalam pertandingan berkenaan.
Meskipun mereka berjaya memadam reputasi buruk berkenaan beberapa musim kebelakangan ini, perkara terbabit sudah tentu menghantui penyokong setia pasukan sehingga hari ini.
Ini kerana terdapat tiga pertembungan separuh akhir yang menyaksikan skuad Sang Penyu melepaskan peluang untuk mara dengan ada daripadanya menyaksikan kelebihan berpihak kepada mereka.
1. Terengganu FC vs KL City FC (Piala FA 2023)
Prestasi tidak menentu tidak menghalang skuad Sang Penyu daripada mara ke pusingan separuh akhir Piala FA tahun lalu ketika baru sahaja dikendalikan Tomislav.
Meskipun gaya permainan kurang memuaskan dipersembahkan, lawan mudah seperti Kelantan FC di peringkat sebelumnya membuka laluan mudah bagi Terengganu FC ke tahap berkenaan.
Malah, di pusingan separuh akhir, ramai beranggapan Terengganu FC memiliki kelebihan kerana mereka hanya perlu berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri.
Skuad Sang Penyu berputih mata di laman sendiri. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, gaya permainan yang lesu selain disiplin pertahanan skuad Warga Kota menyaksikan perlawanan itu berakhir tanpa sebarang jaringan.
Jadi, untuk memastikan pasukan manakah yang akan melangkah ke pentas akhir, penentuan sepakan penalti diadakan dengan sorakan lebih berpihak kepada skuad Sang Penyu sebagai tuan rumah.
Tetapi, kegagalan Alif Zakaria dan Liridon Krasniqi untuk menyempurnakan sepakan masing-masing menyaksikan mereka tersingkir sambil melihat pemain KL City FC meraikan pencapaian itu secara girang.
2. Terengganu FA vs Lions XII (Piala FA 2015)
Satu kempen sukar dilupakan ditonjolkan Terengganu dalam saingan Piala FA 2015 selepas mereka mara ke pusingan separuh akhir meskipun prestasi kurang memberangsangkan dialami dalam Liga Super.
Tetapi, cabaran besar menanti mereka apabila pasukan dari negara jiran, Lions XII menunggu dengan ia merupakan cabaran terakhir sebelum dapat ke pentas akhir.
Tekanan jelas dirasai skuad Sang Penyu selepas mereka tewas di tempat lawan dalam perlawanan pertama yang diadakan di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Jadi, dengan aksi timbal balik berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, kelebihan sedikit pasti berpihak kepada skuad Sang Penyu.
Bagaimanapun, selepas bolos sebanyak dua kali memasuki minit ke-30 permainan, peluang itu jelas disia-siakan Terengganu FA dalam misi mereka ke pentas akhir.
Meskipun menamatkan permainan dengan kemenangan 3-2, ia jelas tidak mencukupi apabila Lions XII yang dikendalikan Fandi Ahmad mara ke pusingan seterusnya berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
3. Terengganu FA vs Kelantan FA (Piala FA 2013)
Satu ketika dahulu, kedua-dua kelab Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan pernah menjadi pasukan paling digeruni dengan lambakan pemain lokal dan import berkualiti.
Jadi, tidak hairanlah apabila setiap kali mereka bertemu, pertandingan hangat akan disajikan, lebih-lebih lagi dalam pertembungan kalah mati di pentas domestik.
Salah satu contoh terbaik adalah ketika mereka diundi dalam separuh akhir Piala FA 2013, setahun selepas skuad The Red Warriors (TRW) mencatatkan kejayaan treble.
Derbi Pantai Timur disaksikan di pentas separuh akhir Piala FA 2013.
Aksi tersebut cukup hangat selepas Kelantan memenangi aksi pertama 4-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan sebelum aksi kedua berlangsung di tempat lawan.
Namun, semangat juang tinggi daripada skuad Sang Penyu menyaksikan mereka mendahului dengan empat gol memasuki minit ke-90 dengan hanya beberapa saat berbaki.
Bagaimanapun, malang menimpa pasukan kendalian E Elavarasan itu selepas gawang mereka dibolosi Obinna Nwaneri untuk mengheret aksi ke masa tambahan.
Lebih mengecewakan lagi, pada minit-minit akhir permainan, Terengganu hanya boleh berputih mata selepas Dickson Nwakaeme menampan masuk bola muntah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram