[VIDEO] Hanya cinta kontrak, 3 pemain TRW Kelantan pernah bikin penyokong jatuh hati waima sekejap


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Amutu (kanan) pernah menyarung jersi Kelantan FA pada musim 2015 untuk membantu barisan serangan TRW.

SUDAH menjadi lumrah dalam sukan bola sepak apabila pemain datang dan pergi.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan meskipun pemain itu merupakan seorang legenda, di akhir kariernya pastinya dia akan menggantung but selepas tidak lagi mampu meneruskan perjuangan sebagai bintang bola sepak.

Meskipun singkat jika pemain itu memberikan impak positif buat pasukan pastinya penyokong akan mengingati aksi bintang yang mewakili kelab mereka.

BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber

BACA LAGI: Fans tak sabar, juara Liga Indonesia tagih sentuhan coach Malaysia

Sebelum TRW Kelantan FC pupus daripada peta bola sepak Malaysia musim ini akibat isu tunggakan gaji yang melampau sehingga tidak dapat diselesaikan.

Bekas kelab gergasi Pantai Timur itu pernah membawa masuk beberapa pemain import yang berkualti sehingga membuatkan penyokong benar-benar jatuh hati dengan persembahan mereka.

Namun kisah percintaan penyokong dan pemain import tidak lama kerana ada bintang yang memilih untuk berhirjah pada musim berikutnya.

Majoriti senaraikan tiga pemain import Kelantan yang pernah membuatkan penyokong jatuh cinta dalam tempoh masa singkat:

1. Austin Augustine Amutu

Mungkin ada dalam kalangan penyokong Kelantan yang sudah lupa akan nama pemain import dari Nigeria ini.

Austin Augustine Amutu, pernah menyarung jersi Kelantan FA (kini dikenali TRW Kelantan) pada musim 2015 untuk membantu barisan serangan The Red Warriors (TRW).

Larian lincah dan kekuatan fizikal antara persembahan yang mungkin tidak akan dilupakan oleh penyokong TRW.

Bersama Kelantan, Amutu menjaringkan lapan gol dalam 14 penampilan sebelum kembali semula ke Nigeria pada musim berikutnya.

2. Gilmar da Silva

Penyokong Liga Malaysia mungkin lebih mengenali pemain ini sebagai bintang Perak FC selepas mewakili pasukan itu selama tiga musim sejak 2017 hingga 2019.

Bersama Perak, Gilmar berjaya menjaringkan 13 gol dalam 27 penampilan dan pernah beraksi di kelayakan Liga Juara-Juara Asia menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada 2019.

Namun sebelum menyertai Perak, Kelantan merupakan pasukan pertama yang membuka jalan buat Gilmar untuk mengukir nama dalam Liga Malaysia.

Bersama Kelantan, Gilmar mencetak enam gol dalam 11 penampilan sebelum menyertai Sarawak FA pada 2015.

3. Blazhe Ilijoski

Datang daripada kelab gergasi Liga Thailand, BG Pathum United FC, Blazhe Ilijoski hadir dengan kelas tersendiri untuk mengetuai jentera serangan TRW pada musim 2016.

Bekas penyerang skuad nasional Macedonia Utara itu menjaringkan 14 gol dalam 19 penampilan dalam aksi sulungnya di Liga Super.

Walaupun beraksi cemerlang, Ilijoski memilih untuk berhijrah untuk pulang ke negara kelahirannya selepas beberapa isu yang berlaku dalam kem Kelantan.

Kini Ilijoski berusia 39 tahun dan telah bersara daripada bermain bola sepak dengan kelab terakhirnya ialah Rabotnicki Skopje di Macedonia Utara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram