Azzmi Aziz ditunjukkan jalan keluar? Hai-O antara 3 calon sesuai kendali skuad Jang


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Azzmi bergelut untuk meneruskan reputasinya sebagai pengendali berkualiti melihat kepada prestasi skuad Jang ketika ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KENCANG khabar angin kedengaran di media sosial bahawa pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz tidak akan bersama kelab tersebut apabila mereka bertandang ke Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu.

Ini berikutan prestasi tidak menentu dialami skuad Jang musim ini apabila mereka hanya mencatatkan tiga mata hasil satu kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Prestasi tersebut meletakkan mereka di kedudukan kedua tercorot dengan hanya perbezaan jaringan meletakkan pasukan terbabit di atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

BACA LAGI: Azzmi tak berselindung, kekangan bajet punca skuad Jang bergelut musim ini

BACA LAGI: Piala Sultan Selangor: 3 legenda Singapura sanggup datang lawan Gergasi Merah

448401043_906618094812241_8085114700254189291_n

Azzmi Aziz tidak dapat membawa perubahan terhadap skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Masalah itu sekali gus membuatkan Azzmi dilihat tidak lagi sesuai untuk memikul tanggungjawab berkenaan dengan peranan berkenaan kini dipikul K Nanthakumar buat sementara.

Bagaimanapun, sekiranya Negeri Sembilan FC mahu mara lebih jauh, seseorang lebih berkaliber diperlukan bagi mengharungi musim Liga Super yang kian mencabar.

Usaha tersebut pastinya sedikit sukar memandangkan kelab itu tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh, namun masih terdapat calon dirasakan sesuai buat pasukan berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga jurulatih paling ideal untuk mengendalikan skuad Jang berdasarkan kualiti pemain dimiliki ketika ini.

1. Hairuddin Omar

Salah seorang jurulatih muda yang sedang meningkat naik ketika ini ialah pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar yang berjaya membuktikan kebolehannya dalam Piala MFL musim lalu.

Selepas membawa skuad muda Sang Penyu ke perlawanan akhir, mereka tampil lebih meyakinkan apabila menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam aksi epik di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Kejayaan berkenaan sekali gus melonjakkan lagi namanya sebagai prospek tempatan terbaik dalam bidang kejurulatihan sebaris dengan ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersama Penang FC.

451356441_465115556155554_2939623360593723797_n

Hairuddin memiliki reputasi cukup baik sebagai seorang jurulatih. Facebook/Terengganu FC II

Jadi, tidak hairanlah apabila dia dicadang untuk mengendalikan Terengganu FC meskipun mereka berada dalam prestasi terbaik di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner.

Namun, isu pengalaman sedikit sebanyak menghalang Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O untuk memikul peranan itu, lalu menyaksikannya kekal bersama skuad muda Sang Penyu.

Ini membuka pintu buat Negeri Sembilan FC mendapatkan khidmat pengendali berkenaan dengan sentimen bekas pemain sudah tentu dapat memujuk jurulatih itu ke pangkuan skuad Jang.

2. Rezal Zambery Yahya

Selepas memikul peranan bersama Kelantan FC musim lalu, tanggungjawab berbeza pula dipikul Rezal Zambery Yahya ketika ini bersama KDN FC sejak awal saingan Liga Super 2024/25.

Dia yang merupakan pembantu kepada ketua jurulatih, Park Jae-hong dilihat menjalankan tugas itu dengan baik meskipun skuad Kijang Emas kini berada di tangga tercorot.

Ini sekali gus membuatkan kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk dengan pucuk pimpinan kelab berkenaan pasti mahu kejayaan dalam tahun pertama mereka selepas melakukan rombakan.

441544219_895905585882430_8495492952860901690_n

Rezal kini bertugas sebagai pembantu jurulatih bersama skuad Kijang Emas. Facebook/Kelantan United FC

Sekiranya perkara itu berlaku, Rezal sudah tentu meletakkan cita-cita untuk kembali menjadi seorang ketua jurulatih selepas kali terakhir memikul tanggungjawab tersebut bersama Kelantan FC pada 2022.

Ketika itu, perubahan berjaya dibawa apabila dia mengembalikan skuad The Red Warriors (TRW) ke persada Liga Super meskipun memiliki pasukan kurang berkualiti.

Jadi, andai pengendali berkenaan mahu merasai pengalaman berkenaan sekali lagi, dia boleh cuba untuk menyertai Negeri Sembilan FC yang pasti teruja dengan kebolehannya.

3. Manzoor Azwira Abd Wahid

Satu ketika dahulu, sentuhan Manzoor Azwira Abd Wahid bersama Penang FC cukup didambakan selepas dia pernah membawa mereka menjuarai Liga Perdana.

Malah, semasa pasukan itu terumbang-ambing di bawah Chong Yee Fatt pada 2022, ramai penyokong mendesak supaya pihak pengurusan memberi peluang buatnya di divisyen teratas bola sepak negara.

Tetapi, situasi cukup berbeza disaksikan hari ini selepas khidmat dan sentuhannya tidak lagi ditagih berikutan musim kurang memuaskan hati sepanjang Liga Super 2023.

453212001_1048146913492629_4735542003881687715_n

Manzoor berpengalaman di Liga Super bersama skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Ia menyaksikan Manzoor diturunkan pangkat dengan dia diberikan kepercayaan untuk mengendalikan Penang FC II dalam Piala MFL selepas dia meraih lesen kejurulatihan penghujung tahun lalu.

Tetapi, sekiranya jurulatih berusia 47 tahun itu bercita-cita besar dalam kariernya, perpindahan ke Negeri Sembilan FC boleh memberi ruang buatnya kembali ke persada Liga Super.

Bagaimanapun, dengan skuad muda Harimau Kumbang berada di kedudukan ke-10 Piala MFL, terdapat kesukaran buat skuad Jang meletakkan Manzoor sebagai calon untuk menggantikan Azzmi Aziz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram