[VIDEO] 'Isu tunggakan gaji berterusan, pemain import gred A takut nak datang Malaysia'


  • Podium
  • Selasa, 30 Jul 2024

Pablo Aimar antara pemain import berkualiti gred A pernah mewarnai kancah liga bola sepak Malaysia.

SABAN tahun isu tunggakan gaji sering menjadi topik utama komuniti bola sepak negara selepas banyak pasukan bertanding akan terpalit dengan perkara itu.

Musim lalu TRW Kelantan FC antara kelab yang menjadi tajuk utama setiap penyokong apabila pihak pengurusan tidak melunaskan pembayaran gaji sehingga lebih lima bulan.

Tidak tamat di situ, penyakit isu tunggakan gaji terus melarat ke musim baharu dengan sudah ada beberapa pasukan mengalami masalah sama selepas kos perjalanan liga semakin meningkat akibat pertukaran jadual kejohanan Asia.

BACA LAGI: 'Selangor akan dominan lawan Sri Pahang, tak selesai masalah jika pecat Fandi Ahmad'

BACA LAGI: ‘JDT bukan tempat pemain dibangunkan dalam Malaysia’

Dengan isu tunggakan gaji sudah menjadi makanan penyokong bola sepak, ini memberi bayangan tarikan Liga Malaysia di masa akan datang mungkin menurun secara drastik.

Jikalau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak melakukan sesuatu pastinya bakal pemain-pemain import berkualiti tinggi tidak berminat untuk meneruskan kariernya di negara ini.

Perkara ini turut dipersetujui oleh jurulatih veteran negara, Irfan Bakti Abu Salim ia akan memberi kesan dengan kehadiran pemain import berkualiti gred A.

"Mungkin mereka (pemain import) akan berfikir juga kalau nak main dalam Liga Malaysia kalau saban tahun isu gaji berulang.

"Kalau yang betul-betul berkualiti pun mesti mereka akan takut juga.

"Jika tidak membayar gaji banyak benda akan terjejas dan kualiti liga itu sendiri sedikit-sebanyak akan memberi kesan," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, musim ini juga sudah ada beberapa dakwaan mengenai kelab masih belum membayar gaji pemain dan ia telah memberi kesan kepada kehidupan seharian individu terlibat.

"Sudah tentu ia memberi kesan, kita tengok beberapa pasukan sampai sekarang masih ada yang belum membayar gaji pemain.

"Ia semestinya akan menjejaskan prestasi dan kualiti permainan, mental sebab nak kena bayar komitmen bulanan.

"Jadi dengan perkara-perkara di atas ia akan memberi kesan kemasukan pemain import yang lebih berkualiti di masa akan datang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram