HARI ketiga Sukan Paralimpik Paris 2024 meraih tumpuan warganet menerusi aksi dipamerkan pemain badminton India, Sivarajan Solaimalai yang berjuang bermati-matian di Porte de La Chapelle Arena.
Sanggup terbang dan berhempas pulas demi enggan mematikan bola, atlet India itu menunjukkan semangat luar biasa apabila saling melawan dan bersaing untuk merebut mata ketika di set kedua menentang wakil Hong Kong, Man Kai Chu.
Meskipun bergelar atlet para, kedua-duanya mempamerkan skil dan kekuatan masing-masing menerusi pukulan smash dan kawalan di jaring yang sangat memukau penonton.
BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam Zii Jia, Muhammad Fareez bergaya tumpaskan atlet Jepun misi ke final Paralimpik
BACA LAGI: [VIDEO] Berjaya catatkan kemaraan, Sabah Women perlu bersedia hadapi kelab Korea
Aksi itu tular di laman sosial dan meriah perkongsian warganet sejak Sabtu.
Ketangkasannya di jaring membuahkan hasil apabila Sivarajan berjaya mengheret permainan ke perlawanan penentuan selepas memenangi set kedua dengan mata 21-18.
Pertemuan epik itu walau bagaimanapun memihak kepada pemain Hong Kong apabila menang dalam perlawanan rubber set dengan keputusan 21-13, 18-21 dan 21-15 dalam masa 57 minit.
Sementara itu, atlet badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar mengekalkan rekod tanpa kalah di Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas menundukkan Taiyo Imai dari Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Sabtu.
Muhammad Fareez bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk bangkit daripada ketinggalan pada set pertama, 17-21.
Dalam set kedua, pemain yang berusia 28 tahun itu berjaya mencari semula momentum yang hilang dan mengecewakan Imai, 21-17, 21-17 dalam masa 72 minit, sekali gus melangkah ke separuh akhir sebagai juara kumpulan B. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram