SIAPA sangka pemuzik terdiri daripada enam ahli kumpulan ini rupa-rupanya kesemuanya merupakan adik beradik.
Lebih mesra dengan gelaran pentas The Siblings Band, kumpulan pemuzik ini dikenali dengan persembahan akustik bergenre tradisional seperti keroncong, melayu asli dan pelbagai lagi irama lain.
Mula berkecimpung dalam bidang itu sejak kecil, penubuhan kumpulan berkenaan walau bagaimanapun tercetus tanpa sengaja apabila ia sekadar hobi bermain alat muzik dan menyanyi di kala waktu senggang.
BACA LAGI: Dulu ‘single’ sekarang duet dan berkumpulan, 6 lagu popular 90-an kini trending
Ibu dan juga pengurus kumpulan itu, Intan Noorismazatulaqtar Ismail, 51, menganggap penubuhan The Siblings Band sebagai bidan terjun dalam seni persembahan muzik sehingga mereka semakin diminati ramai terutamanya beberapa video kumpulan itu sering tular di media sosial.
Jelasnya, meskipun pernah menerima beberapa pelawaan untuk menandatangani syarikat muzik tempatan, namun kumpulan itu terpaksa menolak atas faktor tertentu.
Intan Noorismazatulaqtar (dua dari kanan) bersama seisi keluarganya.
"Sejujurnya pernah juga ada yang pelawa kami untuk jadi artis syarikat rakaman muzik tetapi kami tolak kerana memikirkan soal komitmen yang agak berat.
"Keenam-enam anak saya kesemuanya masih ada yang belajar di universiti dan mempunyai karier masing-masing, jadi kalau dah di bawah syarikat rakaman, mereka akan terikat untuk urusan pemasaran dan persembahan sebagainya.
"Dengan situasi dan usia ahli kumpulan The Siblings sekarang, mereka ada impian dan karier ingin dicapai, jadi biarlah kumpulan ini bergerak secara sendiri dulu, sekurang-kurangnya tak menyusahkan pihak lain," katanya kepada Majoriti.
Penampilan sedondon The Siblings Band ketika membuat persembahan.
Dalam pada itu, Intan berkata, kumpulan berkenaan buat masa ini belum terfikir untuk menembusi pasaran arus perdana.
Hal itu disebabkan idea penubuhan kumpulan enam beradik tersebut hanyalah sekadar projek 'cari makan' untuk seisi keluarganya.
"The Siblings Band bukan untuk populariti ataupun nak jadi artis, asalnya cuma untuk tambah pendapatan keluarga dan sehingga sekarang kami masih mengekalkan perkara itu.
"Kami ada buat satu akaun bank ataupun tabung khas hasil pendapatan daripada persembahan yang dilakukan di majlis kahwin ataupun acara VIP.
"Ia sebagai tabung untuk kecemasan atau keperluan keluarga, tetapi bahagian masing-masing turut diberikan, kami semua satu keluarga jadi soal wang bukan isu besar," katanya.
The Siblings Band kerap menerima jemputan persembahan muzik tradisional.
Dalam pada itu, walaupun aktif membuat persembahan, Intan dalam pada masa sama amat menitik beratkan anak-anaknya untuk menuntut ilmu sehingga ke menara gading sebagai bekalan ilmu hingga ke akhir hayat.
Intan memberitahu, anak keduanya bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta manakala yang lain ada yang meneruskan pengajian dalam fakulti pengajian muzik dan pengurusan hartanah.
"Apa-apa pun pendidikan tetap nombor satu, biarlah mereka nak main muzik sekali pun tetapi sijil ijazah mesti ada.
"Zaman sekarang semua kena ada ijazah sekurang-kurangnya kalau nak bekerja, tak kira apa bidang sekali pun mesti ada kelulusan akademik untuk menceburi alam pekerjaan.
"Sebab itu saya kata, biarlah mereka bergerak sebagai kumpulan bebas seperti sekarang, nak buat rakaman lagu atau sebagainya mungkin bukan untuk The Siblings Band," katanya.
Kumpulan itu sebelum ini pernah membuat persembahan di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas dan Putrajaya International Convention Centre (PICC) sekitar 2020.
Sehingga kini, The Siblings Band masih kekal mewarnai persembahan muzik tanah air menerusi nyanyian tradisional yang nyata semakin digilai ramai golongan muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram