SUKAN ekstrem Paramotor dijalankan di Aceh, Indonesia bertukar tragedi apabila seramai empat peserta dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan cemas ekoran masalah enjin dihadapi pada Khamis.
Keempat-empat peserta terbabit mendarat di beberapa kawasan seperti jalan raya dan sawah padi yang difahamkan tersasar jauh dari lokasi sepatutnya.
Aktiviti itu yang merupakan sebahagian daripada acara Pekan Olahraga Nasional (PON) XXI Wilayah Aceh-Sumatra Utara, Indonesia (Sumut), disertai seramai 47 atlet Paramotor dari 17 wilayah di Aceh.
BACA LAGI: Pesawat ringan mendarat cemas di Pelabuhan Klang ada masalah enjin, 2 juruterbang selamat
BACA LAGI: Lima maut, 9 cedera babit kes pokok tumbang di KL sejak 2017 — Dr Zaliha
Acara itu dikatakan berjalan lancar pada mulanya sebelum empat peserta berkenaan tersasar dan mendarat di lokasi tidak sepatutnya.
Rakaman kejadian tular di laman sosial memaparkan salah seorang peserta melakukan pendaratan cemas di tengah jalan raya.
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) September 1, 2024
Insiden itu disahkan Perwakilan Acara Paramotor PON XXI, Cahyo Akananta menerusi kenyataannya pada Khamis.
"Ada empat juruterbang melakukan pendaratan cemas dipercayai berpunca kerosakan enjin akibat pencemaran bahan api," katanya.
Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan difahamkan boleh bertanding semula dalam acara terbabit.
Dalam pada itu, seorang peserta wanita turut mengalami kecederaan apabila terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika melakukan sesi latihan pada rabu.
"Ada insiden serupa berlaku pada latihan, tudungnya terjerat di bahagian enjin," ujarnya.
Tambahnya, jawatankuasa penganjur sukan Paramotor PON akan mengurangkan jarak laluan trek penerbangan peserta dalam pertandingan akan datang.
Terdahulu, para peserta Paramotor itu difahamkan berlepas dari Lapangan Terbang Malikussaleh, Indonesia dan terbang sejauh 40km sebelum mendarat semula di Lapangan Terbang berkenaan.
"Acara pertandingan ini sangat berprestij untuk menguji kemahiran atlet terbang mengelilingi wilayah Aceh Utara hanya dilengkapi alat navigasi berupa kompas dan peta," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram