Operasi SAR tamat, Jalan Masjid India kembali meriah dipenuhi pengunjung


  • Massa
  • Ahad, 01 Sep 2024

Jalan Masjid India kembali dimeriahi dengan kehadiran pengunjung selepas operasi SAR ditamatkan pada Sabtu.

JALAN Masjid India, Kuala Lumpur kembali meriah apabila orang ramai mula berkunjung ke premis perniagaan di kawasan itu susulan insiden tanah jerlus yang berlaku pada 23 Ogos lalu.

Deretan kedai berhadapan dengan lokasi kejadian mula dibuka selepas sebahagiannya ditutup sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi kejadian.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, operasi SAR bagi mengesan Vijayalaksmi, 48, dibatalkan selepas mengambil kira isu keselamatan dan risiko kepada anggota pasukan SAR serta keselamatan kawasan itu.

BACA LAGI: Operasi SAR lubang benam Masjid India secara rasmi dihentikan selepas 9 hari

BACA LAGI: Loji IWK Pantai Dalam lokasi harapan terakhir temukan mangsa terjerumus lubang Masjid India

Seorang pekerja di sebuah kedai barang kemas, Ibrahim berkata, sepanjang sembilan hari SAR, hampir tiada pengunjung yang hadir ke premisnya.

"Pada hari pertama kejadian, kedai ditutup. Selepas beberapa hari, kedai dibuka semula, tetapi jumlah pengunjung menurun secara drastik.

"Boleh dikatakan kami kehilangan kira-kira 80 peratus pembeli. Selepas SAR ini, saya harap orang ramai akan datang semula," katanya.

2888712 (1)

Operasi SAR yang dijalankan di Jalan Masjid India dihentikan secara rasmi pada hari kesembilan pada Sabtu.

Pengunjung, Mohd Azmi Halim, 43, berharap pemulihan Jalan Masjid India dapat dilakukan secepat mungkin kerana laluan itu menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Orang selalu datang sini. Barang mampu milik. Bila kejadian ini berlaku, orang takut nak datang. Bila jalan dipulihkan sepenuhnya, saya rasa pembeli akan datang semula beramai-ramai," katanya.

Seorang pengawal keselamatan di Wisma Yakin, Juinon Masdin, 48 berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab sentiasa memantau keadaan di jalan raya berikutan kejadian itu terutama ketika hujan lebat.

"Bagi kami, pihak keselamatan di sini akan memantau setiap masa bagi menjaga keselamatan peniaga dan pengunjung wisma ini," katanya.

Seorang pengunjung dari Sabah, Elmia Kiramon, 55, berkata, walaupun bimbang dengan kejadian itu, dia yakin dengan tahap keselamatan di kawasan tersebut.

"Saya lihat polis telah menutup kawasan itu dan kami sebagai pengunjung tidak pergi ke sana (lokasi lubang benam)," katanya yang melancong di sini sejak dua minggu lalu dan sudah dua kali berkunjung di Jalan Masjid India untuk membeli-belah.

Pekerja kedai pakaian, Nora Amrizal, 36, juga berharap pihak berkuasa sentiasa melakukan pemeriksaan di kawasan sekitarnya untuk memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, peniaga akan mengalami kerugian sekiranya orang ramai masih menganggap lokasi berkenaan tidak selamat untuk dikunjungi susulan kejadian tanah jerlus itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram