Zii Jia pintas pemenang pingat perak Olimpik Paris, huni ranking ke-4 dunia


  • Podium
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Zii Jia kembali menghuni ranking keempat dunia ekoran kejayaannya meraih pingat gangsa pada Olimpik Paris lalu.

KEJAYAAN pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meraih pingat gangsa pada Olimpik Paris lalu berjaya membantunya mendaki dua mata tangga untuk berada di kedudukan keempat dunia.

Perkembangan positif tersebut dikongsi menerusi kemas kini ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa.

Biarpun tersingkir pada pusingan awal Terbuka Jepun minggu lalu, namun pemain berusia 26 tahun itu berjaya mencatat peningkatan menerusi kedudukan tersebut.

BACA LAGI: Lee Zii Jia gagal ulangi prestasi di Paris, pulang awal dari Terbuka Jepun

BACA LAGI: Lee Zii Jia dedah punca pulang awal dari Terbuka Jepun

Dua pemain iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan Anders Antonsen dari Denmark berjaya dipintas Zii Jia selepas mengumpul 83716 mata.

Kejayaan tersebut menyaksikan juara Terbuka Thailand itu kembali ke dalam kelompok empat pemain terbaik dunia dengan kali terakhir Zii menghuni tangga itu pada 23 April 2023.

Ranking pertama kekal milik jaguh China, Shi Yu Qi dan juara Sukan Olimpik Paris 2024, Viktor Axelsen di tempat kedua sambil diekori rapat Jonatan Christie dari Indonesia di kedudukan ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram