'Nak jaga bekas komando lebih susah berbanding bayi'


  • 112
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Hanizam (kanan) memiliki hubungan yang sangat akrab bersama penghuni di wisma veteran.

PERNAH bergelar penganggur satu ketika dahulu, seorang tukang masak di Wisma Veteran, Kuala Lumpur bersyukur atas pekerjaan dimilikinya yang dianggap jauh lebih mulia berbanding sesetengah orang lain.

Meskipun kerjaya itu tidak diminati ramai dan pernah dipandang rendah masyarakat sekeliling, namun bagi Mohd Hanizam, 34, ia merupakan satu nikmat apabila kerap menerima pelbagai perkongsian cerita sejarah daripada bekas tentera di wisma berkenaan.

Jelasnya, pengalaman dimiliki bekas-bekas tentera di rumah jagaan tersebut sememangnya luar biasa dan sangat menarik untuk didengari.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kehilangan anggota tentera terjawab, maut kena mampat lori sampah

BACA LAGI: 'Enggan disentuh lelaki', ibu 3 anak dedah pentingnya wanita jadi bomba

"Siapa sangka di sini ada bekas komando dan tentera yang melawan komunis satu ketika dahulu, kita tengok mereka sekarang nampak uzur tapi sebenarnya dulu merekalah yang banyak berjasa kepada negara.

"Saya memang rasa bersyukur dapat berkhidmat kepada perwira negara walaupun hanya sekadar tukang masak dan penjaga mereka di sini.

"Seronok berborak dengan mereka, saya ada cara tersendiri nak buat mereka tertawa sebab dah rapat, orang luar mungkin akan kata kasar tapi sebenarnya kami sangat akrab," katanya kepada Majoriti.

6226307887811116360

Hanizam (kiri) bersama salah seorang penghuni di Wisma Veteran.

Dalam pada itu, ketika disoal berkaitan cabaran sebagai penjaga di wisma berkenaan, Hanizam tegas meluahkan bahawa ia tidak mudah seperti dijangka.

Katanya, meskipun kesemua mereka merupakan veteran ataupun pesara tentera, disiplin mereka masih di tahap tinggi walaupun kesihatan kurang mengizinkan.

"Tahap disiplin mereka ni, bangun pagi masih sebelum subuh, jadi makanan sarapan pun kena disediakan awal dan tak semua makan yang sama sebab tahap kesihatan berbeza-beza.

"Ada masa mereka memang tegas, sebab masing-masing ada yang berpangkat di skuad komando, mungkin dah terbiasa dengan disiplin dalam pasukan dulu. Jadi, hendak menjaga mereka yang tegas lebih susah berbanding nak jaga bayi.

"Paling utama, kebersihan mereka kena jaga betul-betul, kalau ada yang terbuang air, lampin kena cepat bersihkan kalau tidak kena marah, tapi hubungan kami macam anak beranak je di sini," katanya.

Dalam pada itu, Hanizam turut meluahkan keinginannya untuk terus berbakti kepada penghuni di wisma berkenaan dengan harapan kesemua veteran di situ sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria sentiasa.

Malah, setiap perkongsian cerita dan pengalaman dari penghuni di wisma berkenaan dianggap memori paling bermakna dalam kerjayanya sebagai tukang masak di Wisma Veteran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram