JAGUH perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, tewas mengejut kepada Alex Lanier dari Perancis, sekali gus terkeluar daripada Terbuka Jepun 2024, di Yokohama pada Selasa.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan pemain pilihan keenam kejohanan itu, gagal mengulangi prestasi baik dan tewas kepada pemain ke-29 dunia dalam masa 41 minit pada kejohanan Super 750 di Arena Yokohama.
Rentak positif jaguh berusia 26 tahun itu disekat oleh Lanier di pusingan pertama pada Selasa dengan keputusan straight set.
BACA LAGI: Jika JDT 'buka kedai', Negeri Sembilan dan 2 kelab Pantai Timur jangan lagi buang masa
BACA LAGI: Lee Zii Jia gagal ulangi prestasi di Paris, pulang awal dari Terbuka Jepun
Tangkap layar Instastory Lee Zii Jia.
Dalam aksi tersebut, Zii Jia terpaksa akur tunduk 18-21, 13-21 sekali gus menjadi kemenangan pertama buat Lanier dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemain ini.
Usai perlawanan tersebut, Zii Jia memuat naik satu hantaran di Instastory bagi menjelaskan keadaan fizikalnya yang masih belum pulih sejak pulang dari Paris tempoh hari.
"Hai semua, fizikal saya berasa lemah untuk beberapa hari sejak pulang dari Sukan Olimpik,” ujar Zii Jia menerusi Insta Story.
Tambahnya lagi, saingan sengit cuba diberikan kepada Lanier dalam aksi tersebut namun akur dengan keadaan badan yang tidak mengizinkan.
“Akan tetapi menarik diri dari kejohanan tidak ada dalam rancangan selagi saya rasa ia tidak akan membahayakan saya.
“Saya mencuba yang terbaik dan berjuang sepanjang perlawanan tetapi badan saya tidak mengizinkan saya melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya.
“Mengharapkan rehat dan pemulihan yang baik untuk kejohanan yang akan datang,” katanya.
Dengan keputusan ini, Lanier mara ke pusingan seterusnya, manakala Zii Jia akan pulang ke tanah air bagi meneruskan sesi pemulihan sebelum kembali semula ke gelanggang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram