Selepas Masjid India, Kampung Kerinchi pula berlubang gergasi


  • 112
  • Selasa, 27 Ogos 2024

DBKL menjalankan kerja-kerja awalan seperti pemasangan tali keselamatan, 'water barrier' dan kon di lokasi longkang runtuh dekat Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada Isnin.

KECOH di laman sosial apabila sebuah longkang didakwa runtuh di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur beberapa hari selepas kejadian tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat lalu.

Namun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan Facebook pada Selasa mengambil maklum mengenai kejadian longkang runtuh di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi.

Jelasnya, kerja-kerja awalan seperti pemasangan tali keselamatan, 'water barrier' dan kon telah dilakukan di kawasan kejadian sekitar pukul 10 malam Isnin.

Terdahulu, Agensi Nuklear Malaysia dan pasukan teknikal DBKL dilihat berada di lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pasukan berkenaan membawa alat pengesan radar dipercayai bagi mengesan sebarang pergerakan di bawah tanah sama seperti yang digunakan dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali pada 2022.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, operasi pencarian mangsa tanah jerlus menggunakan 'jetter' di lokasi kejadian di Masjid India.

Menurutnya, teknik penyemburan air bertekanan tinggi itu dilakukan selepas mendapati terdapat objek atau serpihan yang menghalang laluan air di dalam lurang kumbahan.

Beliau berkata, operasi dijalankan sejak awal pagi Selasa secara berperingkat yang kini sudah memasuki operasi keempat dan dijangka berterusan sehingga objek berkenaan dapat dipecahkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram