SUKMA pun dah ‘berjangkit’, aksi final Melaka-WP dicemari adegan cekik, dihalau padang


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Tangkap layar aksi ganas membabitkan pemain Melaka dan Wilayah Persekutuan pada perlawanan akhir SUKMA 2024 pada Sabtu.

PERLAWANAN akhir bola sepak temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 antara Melaka dan Wilayah Persekutuan pada Sabtu dicemari isu kontroversi apabila pemain gagal mengawal kemarahan ketika di separuh masa kedua permainan.

Penyerang Melaka, Haziq Zamri dikesan mengasari pemain Wilayah Persekutuan sekali gus mencetuskan pertelagahan antara kedua-dua pasukan.

Gagal mengawal kemarahan, Haziq kemudiannya terus mengasari dan seolah-olah dilihat cuba mencekik pemain lawan sehingga mengakibatkan permainan terhenti seketika.

BACA LAGI: [VIDEO] Main rally panjang, atlet badminton Borneo bagai bersaudara, 'luang masa' di gelanggang SUKMA

BACA LAGI: Shahrul Saad jadi idola, resipi rahsia bek tengah bantu Perak mara ke suku akhir SUKMA

Pengadil perlawanan, Mohd Hazwan Hasim yang dibantu dua penolong pengadil, Oswald Anak Sentana dan Muhammad Harris Sharudin berjaya menenangkan pemain kedua-dua pasukan. Setelah itu, Hazwan mengarahkan Haziq keluar padang atas tindakannya itu.

Wilayah Persekutuan yang ketika itu mendahului 2-1 berjaya mengekalkan keputusan itu hingga ke wisel penamat.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasukan tersebut meraih ibu segala pingat bagi SUKMA 2024.

Terdahulu, Wilayah Persekutuan yang dikendalikan Muhammad Nidzam Adzha Yusoff mula meningkatkan intensiti perlawanan untuk membuka akaun jaringan pada minit ke-19 menerusi tandukan Muhammad Harith Imran Hairee yang bijak menghidu peluang selepas kekalutan di depan pintu gol Melaka.

Tersentak dengan jaringan lawan, anak buah Mohd Noor Md Derus terus memperkemas permainan dan melancarkan beberapa siri serangan namun keampuhan barisan pertahanan Wilayah Persekutuan tangkas mematahkan serangan skuad muda Hang Tuah untuk menamatkan babak pertama dengan 1-0.

Ibarat mendapat suntikan baharu, Melaka berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan deras Mohamad Farish Ainun Aswadi pada minit ke-53 yang melencong masuk ke sebelah kiri menewaskan penjaga gawang Wilayah Persekutuan Mohammad Hafizy Nadzli.

Wilayah Persekutuan kembali agresif untuk menambah jaringan dan berhasil menerusi hantaran lintang Muhammad Harith ke dalam kotak penalti sebelum disambut Nu'man Hakim Abdul Rahman yang menanduk tepat ke dalam gawang pada minit ke-69, meletakkan Wilayah Persekutuan selesa 2-1 sehingga wisel penamat ditiupkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram