[VIDEO] Main rally panjang, atlet badminton Borneo bagai bersaudara, 'luang masa' di gelanggang SUKMA


  • Podium
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Pertembungan Sarawak dan Sabah antara perlawanan tumpuan sebelum kemenangan berpihak kepada kontinjen Sarawak.

TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) yang sudah membuka tirai secara rasmi itu menyajikan pelbagai momen menarik berjaya mencuri tumpuan rakyat Malaysia.

Salah satu acara yang menjadi tumpuan ialah badminton memandangkan kejayaan di temasya Olimpik Paris 2024 itu berjaya menarik lebih ramai peminat untuk menyaksikan acara tersebut.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup, Sibu itu pada Jumaat menyaksikan pertembungan dua pasukan dari Borneo dalam saingan perlawanan peringkat Kumpulan A bagi kategori perseorangan lelaki.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Borneo bersaudara, sama-sama nyanyi lagu Bekikis Bulu Betis ketika Sabah tewaskan Sarawak raih emas takraw SUKMA

BACA LAGI: Bukan ke Penang FC, Abu Kamara dikhabar ke Pantai Timur

Perseorangan lelaki Sarawak, Goh Shun Huat memberikan tentangan sengit buat pemain Sabah, Muhammad Nur Azhar Zunaide dengan meninggalkan lawannya dengan jarak sembilan mata, untuk menang set pertama 21-12.

Namun pada set kedua, Muhammad Nur Azhar cuba bangkit tetapi gagal apabila pemain Bumi Kenyalang itu, menyudahkan perlawanan dengan kemenangan 28-26 pada set kedua.

Menarik dalam aksi tersebut, kedua-dua atlet berkenaan bermain dalam satu rally yang panjang, terutamanya ketika set permainan kedua yang akhirnya dimenangi wakil Sarawak.

Ramai beranggapan bahawa pertemuan pasukan Borneo itu ibarat perlawanan bersaudara kerana kedua-dua pemain terbabit enggan mengaku kalah khususnya dalam set kedua.

Tidak cukup dengan itu, ada yang melihat aksi tidak henti tersebut menggambarkan keakraban penduduk di Sabah dan Sarawak setiap kali mereka bertemu.

Ini kerana dalam situasi kehidupan harian, sudah menjadi kebiasaan bagi orang Sabah dan Sarawak meluangkan masa agak lama ketika saling bertanya khabar dan ramai menganggap perlawanan itu seperti menggambarkan keindahan perkara tersebut.

Meninjau ruangan komen, rata-rata warga maya terhibur dengan gelagat kedua-dua atlet badminton berkenaan.

"Memang kalau cousin (bersaudara) sudah berjumpa banyak betul cerita mereka ni, terbaiklah player badminton Sabah dan Sarawak," kata Rusydy Che Mak.

"Dari tamu Tamparuli sambung pergi ke Kota Belud belum tahu cerita mereka ni akan habis," kata Lisa Aisa FV.

"Panjang betul cerita mereka ni kan, biasalah tu lama tak jumpa," kata Helly Mut.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram