Ada gas beracun dalam pembetung, hanya seorang anggota dibenar masuk cari mangsa terperosok lubang dekat Majid India


  • 112
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Bomba masih gagal menemukan mangsa terjerlus ke lubang sedalam lapan meter di kawasan Jalan Masjid India. — Ihsan bomba

SUSULAN kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, hanya seorang dibenarkan turun ke dalam pembentung ekoran terdapat gas beracun yang boleh mengundang bahaya kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mencari dan menyelamat mangsa.

Menurut laporan Astro Awani, meskipun arus air tidak deras dan paras air tidak begitu tinggi, namun keadaan itu tidak menjamin keselamatan anggota untuk turun ke dalam pembentung tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kuala Lumpur, Fatta M Amin berkata, mengambil kira situasi tersebut, hanya seorang anggota dibenarkan masuk ke ‘manhole’ bagi mencari mangsa insiden tanah jerlus.

BACA LAGI: Mangsa tanah jerlus Masjid India dipercayai dihanyut arus deras — Polis KL

BACA LAGI: 'Tolong selamatkan ibu saya', rayu anak mangsa tanah jerlus Masjid India

"Dalam pembetung, saiznya agak besar tapi bagi mengelak kecelakaan berlaku, kita letakkan seorang pegawai sahaja untuk masuk ke situ.

"Sebab bawah itu penuh dengan gas beracun. Anggota yang masuk pun pakai sut lengkap supaya tiada gas beracun dihidu anggota bertugas," katanya pada Sabtu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa terjerlus ke dalam lubang di kawasan Jalan Masjid India.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi kawasan berkenaan buat seketika.

"Kita minta kerjasama daripada orang awam untuk berikan ruang kepada pihak berkuasa jalankan operasi pencarian.

"Kita juga ingin beri nasihat kepada peniaga untuk menutup perniagaan sementara.

"Kita hendak elakkan gas yang berada di ‘manhole’ ini kerana kita bimbang ia akan beri kesan tidak baik kepada kesihatan mereka," ujarnya.

Terdahulu, mangsa, Jayaletchumy, 48, dilapor tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter di kawasan Jalan Masjid India dan belum dijumpai sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram