PENIAGA berhampiran kawasan kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur berasa tertekan ekoran perniagaan yang didakwa turut terjejas secara drastik akibat insiden yang berlaku.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi keluhan beberapa pemilik premis di sekitar pusat komersial Wisma Yakin yang berjarak kira-kira 10 meter dari lokasi tanah jerlus terbabit.
Polis telah menutup beberapa laluan ke arah masjid di Jalan Masjid India dan di hadapan rumah pangsa Selangor Mansion bagi mengehadkan pergerakan berhampiran kawasan kejadian.
BACA LAGI: Mangsa tanah jerlus Masjid India dipercayai dihanyut arus deras — Polis KL
Walau bagaimanapun, premis perniagaan di belakang rumah pangsa berkenaan masih beroperasi seperti biasa dengan pelanggan masih dibenar berkunjung ke kawasan terbabit.
Premis perniagaan di kawasan sekitar rumah pangsa Selangor Mansion masih dikunjungi orang ramai.
Tinjauan The Star mendapati orang ramai berkerumun di lokasi kejadian untuk mengetahui perkembangan siasatan berhubung kes tanah jerlus berkenaan.
Asmawati, 52, yang bekerja di sebuah kedai pakaian kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian berkata, ketika premisnya dibuka, tiada pelanggan yang datang berkunjung kerana beberapa laluan di sekitar Jalan Masjid India telah ditutup.
"Orang ramai tidak boleh berjalan di kawasan berhampiran kawasan itu jadi perniagaan kami turut terjejas," katanya.
Dia mengaku bimbang akan keselamatannya berikutan kejadian tanah jerlus itu dan berharap pihak berkuasa dapat memastikan kawasan itu masih selamat.
"Kejadian yang sama turut berlaku tahun lepas serupa dengan kejadian semalam," katanya.
Jelasnya, jika premis niaganya ditutup, maka dia akan kehilangan sumber pendapatan.
"Saya sudah bekerja di sini selama lebih kurang dua tahun.
"Sejak kejadian semalam, saya menerima banyak panggilan daripada keluarga dan rakan, bertanyakan sama ada saya sihat dan meminta saya berhati-hati," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga Rizal Jasni, 64, yang sudah 44 tahun menjual songkok di Wisma Yakin berkata, perniagaannya turut terjejas akibat insiden berkenaan.
“Kawasan berhampiran tanah jerlus itu telah ditutup kepada pejalan kaki.
"Biasanya saya menerima bilangan pelanggan tetap tetapi hari ini, tiada sesiapa pun yang berkunjung," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram