Diangkat 'Ikon PDRM', Lans Koperal tak serik ditimpa ACL, idam emas karate Sukan SEA 2027


  • 112
  • Ahad, 25 Ogos 2024

Shree Sharmini (kiri) ketika mewakili negara pada Sukan SEA 2017.

PERNAH menjulang nama negara di peringkat antarabangsa satu ketika dahulu, seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Lans Koperal masih menyimpan hasrat untuk kembali beraksi di gelanggang karate menjelang Sukan SEA 2027 kelak.

Shree Sharmini, 32, yang bertugas di Unit Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya memiliki seribu satu impian untuk menambah koleksi pingat peribadinya.

Jelasnya, kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) dialami selepas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) tidak mematahkan semangatnya untuk terus memahat sejarah sebagai anggota polis yang berjaya bergelar atlet.

BACA LAGI: Dengar cakap ibu, GK Kelantan tukar karier tinggalkan bola sepak demi bergelar anggota polis

BACA LAGI: [VIDEO] Sabah didakwa bagi alasan tiada kuota, anak jati KK raih emas karate untuk Sarawak

"Kalau ikutkan pada minat dan keinginan, saya memang mahu tambah pingat emas di Sukan SEA 2027 nanti, walaupun pernah cedera ACL, saya masih bersemangat.

"Ada yang kata usia saya mungkin kurang relevan tetapi, tahap kecergasan saya masih di peringkat baik dan boleh turun beraksi di gelanggang.

"Tidak meletakkan sasaran tinggi untuk ke Sukan Asia, tapi sekurang-kurangnya di peringkat Asia Tenggara (Sukan SEA) saya yakin masih boleh menyumbang pingat pada negara," katanya kepada Majoriti.

6215056598208986823

Sharmini (kiri) dalam skuad karate Sukan SEA 2017.

Meskipun berkhidmat sebagai anggota polis, Sharmini giat menjalani latihan karate dan masih aktif menyertai kejohanan di peringkat daerah bagi mengekalkan tahap kecergasannya dalam sukan tempur tersebut.

Dalam pada itu, kejayaannya merangkul dua pingat emas pada Sukan SEA KL 2017 melayakkan dirinya menerima penghargaan 'Ikon PDRM' sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Penghargaan yang diberikan kepadanya adalah atas pencapaian, kemahiran, kepakaran dan kejayaannya dalam melaksanakan tugas sebagai anggota polis dalam pada masa sama bergelar atlet negara.

"Penghargaan ini satu perkara tidak dijangka sebab kejayaan saya di Sukan SEA sudah bertahun lama, tak sangka saya masih diingati.

"Tidak mudah bergelar seorang polis dan pada masa sama atlet negara, tapi selagi masih boleh beraksi saya tak akan berhenti berkhidmat dalam kedua-dua bidang tersebut.

"Sebelum ini saya pernah dianugerahkan Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) daripada Sultan Kedah pada Jun lalu. Itu pun salah satu kejayaan peribadi yang saya cukup bangga dan semangat untuk terus berkhidmat," katanya.

455868697_907891678037720_6044292422297852865_n

Shree Sharmini menerima penghargaan 'Ikon PDRM' sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Selain meraih pingat emas di Sukan SEA, Sharmini sebelum ini turut menyumbang pingat gangsa bagi acara kumite wanita bawah 68 kilogram di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Untuk rekod, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini mengumumkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-34 Sukan SEA pada 2027.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan kementerian masih dalam perbincangan bersama pemegang taruh dan mendapatkan lebih banyak informasi untuk Kabinet melihat kesan dari penganjuran temasya itu.

Jelasnya, pihaknya tidak dapat menjangkakan bilakah keputusan status penganjuran itu dapat diumumkan memandangkan pihaknya masih dalam perbincangan awal.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea adalah pada 2017 dengan ketika itu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram