PENIPUAN 'love scam' di laman sosial masih menjadi trend jenayah di Malaysia sehingga ke hari ini.
Golongan wanita khususnya sering terpalit dengan jenayah terbabit apabila kerap dipergunakan demi mengaut wang ataupun barangan berharga daripada mereka.
Kerap berlaku di laman sosial, pelaku kebiasaannya menggunakan akaun dan identiti palsu bagi menyasarkan wanita berusia yang memiliki banyak sumber kewangan.
BACA LAGI: Terjebak 'Love Scam' di FB, warga emas rugi lebih RM4.3 juta
BACA LAGI: Masih ramai Gen Z, Alpha tidak tahu 'Love Scam', kewujudan hotline 997 — Polis
Menurut laporan The Star, Profesor Madya kriminologi, Dr Mohammad Rahim Kamaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan bahawa modus operandi pelaku adalah dengan mencipta akaun media sosial dan menghantar permintaan rakan kepada wanita yang mereka pilih secara rawak.
Sebaik sahaja permintaan rakan diterima, mereka beralih ke fasa 'pujukan' untuk memupuk ikatan emosi dengan mangsa serta mendapatkan kepercayaannya.
"Kemudian datang pula fasa 'penilaian' di mana penipu mengetahui sama ada mangsa boleh diperdaya untuk mengaut wang mereka.
"Ia akan bermula dengan jumlah yang kecil, sebaik sahaja penipu mendapati mangsa mudah dimanipulasi, maka jumlah wang yang besar akan diminta," katanya.
Profesor Madya kriminologi, Dr Mohammad Rahim Kamaluddin.
Seorang lagi pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr P. Sundramoorthy menjelaskan mangsa menjadi sasaran berikutan isu kebocoran data yang mendedahkan status kewangan mereka.
Lanjutan daripada isu berkenaan, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi membincangkan aspek pengawalseliaan dan penguatkuasaan media sosial, menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini.
Beliau berkata, pasukan petugas itu akan merangkumi Kementerian Perhubungan, Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, dan Jabatan Peguam Negara.
Fahmi Fadzil akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengawal selia penggunaan media sosial di Malaysia.
Tambahnya, kementerian khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sedang berusaha untuk memastikan proses pelesenan platform media sosial dilaksanakan dengan lancar menjelang 1 Januari tahun depan.
"Kami mendapati mereka yang terlibat dalam jenayah buli siber sering menggunakan akaun palsu dan kami berhasrat untuk menghapuskan akaun palsu ini pada masa hadapan," katanya.
Tambahnya, dengan pelesenan, pengguna platform media sosial akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab untuk tidak terlibat dalam kes buli siber, kandungan ekstremis, dan aktiviti haram seperti pengedaran dadah serta perjudian dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram