Antara dua darjat, Selangor tak mampu kekang JDT hatrik Piala FA, julang trofi diiktiraf


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

JDT melakar hatrik Piala FA selepas membelasah Selangor 6-1 di pentas final di SNBJ pada Sabtu.

KELAB elit, Johor Darul Ta'zim (JDT) bagaikan berada dalam kelas tersendiri apabila menjulang trofi diiktiraf, Piala FA secara hatrik sebaik membelasah Selangor FC dengan kemenangan besar 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Namun, babak panas perlawanan bermula seawal minit kedua permainan apabila Fazly Mazlan dilayangkan kad kuning selepas mengasari Bergson da Silva.

Selepas perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling melakukan asakan hingga gol pertama JDT berjaya dihasilkan Juan Muniz hasil rembatan padu menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-26.

BACA LAGI: Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT

BACA LAGI: Piala FA: Isu kalimah ALLAH di bola JDT-Selangor selesai, ganti dengan nama finalis

Namun, aksi perlawanan bertambah panas apabila kedua-dua pasukan saling bertelagah dan Heberty Fernandes pula dilayangkan kad kuning selepas mengasari Safuwan Baharudin.

Gol kedua JDT muncul menerusi tandukan cantik pemain sensasi Arif Aiman pada minit ke-42 sekali gus menamatkan babak pertama perlawanan dengan keputusan 2-0.

6219976161124007738

Juan muniz ketika menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang Selangor.

Bersambung di babak kedua perlawanan, Selangor berjaya memecah kebuntuan apabila memperoleh jaringan menerusi Alvon Fortes hasil rembatan leret di sebelah kri gawang menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-59.

Namun, keceriaan skuad Gergasi Merah tidak berpanjangan apabila JDT meneruskan asakan bertali arus ke gawang lawan dengan giliran Bergson pula mencatatkan nama selaku penjaring selepas bijak memperdayakan benteng pertahanan Selangor.

Ego anak-anak buah Hector Bidoglio semakin memuncak apabila terus menambah bilangan jaringan menerusi Juan Muniz (67) dan Heberty Fernandes (76) .

Kemenangan JDT disahkan menerusi jaringan hatrik Juan Muniz pada penghujung perlawanan yang nyata mematahkan semangat skuad Selangor dalam perebutan piala berprestij itu.

Keputusan 6-1 memihak kepada JDT sehingga ke wisel penamat, sekali gus berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut selepas memenangi dua edisi terdahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram