"KAMI amat mengalu-alukan tempahan dari serata negara."
Demikian harapan dan keinginan diluahkan seorang Pegawai Vokasional dan Industri Penjara Taiping, Perak, Rasidi Mohd Nor, 51, berhubung produk ukiran mimbar dihasilkan di situ.
Jelasnya, Penjara Taiping memiliki kepakaran dalam menghasilkan mimbar masjid berkualiti dengan kadar harga terendah di pasaran.
Enggan meletakkan kos tinggi, Rasidi berkata, permintaan pelanggan sentiasa dipenuhi sekiranya memiliki corak ataupun ukiran tersendiri.
BACA LAGI: Henry Gurney Keningau sasar jadi pusat agro Musang King di Sabah
"Kami sentiasa terbuka menerima tempahan ukiran mimbar daripada pelanggan, tetapi apa saya boleh katakan harganya serendah RM5,000 sahaja.
"Banyak masjid di sekitar Taiping dah membuat tempahan dengan kami sebab murah, kita banyak ikut kehendak pelanggan jadi semuanya boleh dihasilkan.
"Saya boleh jamin harga kami jauh lebih murah dan berpatutan dari luar, sebelum ini ada terima tempahan enam set, hanya menelan kos lebih RM40,000, kalau di luar mungkin RM100,000 saya jangkakan," katanya kepada Majoriti.
Mimbar masjid dihasilkan banduan di Penjara Taiping.
Dalam pada itu, Rasidi turut menegaskan bahawa harga istimewa ditawarkan itu seiring dengan kualiti terbaik dihasilkan banduan di situ.
Jelasnya, kos berpatutan tidak bermakna pelanggan tidak akan menerima barangan berkualiti, kerana semuanya merupakan hasil tangan (hand made).
"Kalau di luar, mimbar kebanyakannya akan dihasilkan menggunakan mesin ataupun di kilang, tapi di sini, semuanya hasil tangan.
"Tempahan setakat ini amat menggalakkan dari penduduk sekitar Taiping, tapi masih belum dapat tembus pasaran luar.
"Kami harap masyarakat luar akan lebih terbuka untuk tempah produk dari Penjara Taiping khususnya mimbar masjid, insyaALLAH hasilnya berkualiti," katanya.
Dalam pada itu, Galeri Penjara Taiping turut menghasilkan pelbagai barangan kraf tangan berbentuk cenderahati dan keperluan harian seperti set meja makan, labu sayung dan barangan kulit.
Antara barangan kraf tangan yang dijual di Galeri Penjara Taiping.
"Pelbagai lagi produk dihasilkan banduan di sini, rumah hiasan rotan, kerusi malas, tudung saji dan mimbar masjid antara kepakaran kami di sini.
"Tak ramai yang tahu Penjara Taiping ada buat produk macam ini, bahkan harga kami lebih murah dan berpatutan daripada pasaran luar.
"Banduan di sini semuanya tak ambil cas upah, cuma kos barang sahaja yang dikira sebab itu harga kami berpatutan. Yang mahalnya semua merupakan hasil buatan tangan," katanya.
Turut bercita-cita mengangkat Penjara Taiping sebagai 'kilang' kraf tangan, keinginan itu sekali gus bertujuan mahu membuka mata masyarakat umum berkaitan produk dihasilkan di penjara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram