Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT


  • Podium
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Nidzam tidak mahu meletakkan tekanan terlalu tinggi terhadap anak-anak buahnya dalam perlawanan itu nanti. — Facebook/MFL

SELANGOR FC enggan meletakkan tekanan berlebihan menjelang final Piala FA dengan ketua jurulatihnya, Nidzam Jamil berasa pasukannya hadir bukan dengan status pasukan pilihan.

Meskipun skuad Gergasi Merah ketika ini merupakan pemegang rekod sebagai juara terbanyak pertandingan, ia bukanlah penanda bahawa mereka yakin dalam perlawanan akhir itu.

“Setiap pasukan yang masuk ke final, peluangnya 50-50. Perlawanan juga masih belum dimainkan, kita juga hanya beberapa langkah untuk mendakap piala jadi kita akan lakukan yang terbaik,” jelasnya.

BACA LAGI: Piala FA: Isu kalimah ALLAH di bola JDT-Selangor selesai, ganti dengan nama finalis

BACA LAGI: Bekas pemain JDT mahu final Piala FA jadi landasan erat hubungan baik penyokong

Nidzam berkata demikian dalam sidang media praperlawanan antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jumaat menjelang perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam kempen kali ini, skuad Gergasi Merah melangkah ke final selepas menundukkan Negeri Sembilan FC, Kuching City FC dan Terengganu FC dalam kesemua peringkat kalah mati.

456695990_1029640365834358_7138854216883700356_n

Nidzam (kiri) dan Safuwan yakin akan kebolehan skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Bagi JDT pula, mereka memulakan saingan dengan aksi menentang Kelantan Darul Naim sebelum menyingkirkan Malaysian University dan Kedah Darul Aman FC.

Jadi, tidak hairanlah Nidzam tidak mahu mendabik dada bagi perlawanan tersebut memandangkan lawan mereka tidak boleh dipandang ringan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Perkara itu turut diakui kapten skuad Gergasi Merah, Safuwan Baharudin yang setuju dengan pengendalinya bahawa pasukan itu hadir dengan status 'underdog'.

“Macam jurulatih (Nidzam Jamil) kata, perlawanan ini sukar. Tapi tiada sesiapa mahu datang (ke final) untuk kalah. Jadi, pada akhirnya, kita ada sasaran kita sendiri. Motivasi untuk diri sendiri sangat tinggi,” katanya.

Safuwan bukan asing dengan kejayaan Piala FA kerana pernah mengecapinya pada 2015 ketika bersama Lions XII dan sekali lagi pada 2018 bersama Pahang FA.

Pengalaman berkenaan pasti diharapkan dapat dicurahkan dalam melunaskan harapan penyokong skuad Gergasi Merah menjulang trofi itu buat kali keenam dalam sejarah kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram