KEHANGATAN perlawanan akhir Piala FA 2024 semakin dirasai selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) mula melancarkan perang psikologi terhadap lawan mereka, Selangor FC.
Pada sesi sidang media praperlawanan, kelab Selatan tanah air itu hanya menurunkan pembantu jurulatih, Jose Lopez dan bek tengah, Junior Eldstal yang tidak berada dalam senarai pemain bagi aksi berkenaan.
Malah, ketika sesi berkenaan, masing-masing hanya mengunci mulut dengan tidak memberi sebarang penjelasan mengenai persiapan pasukan bagi pertembungan itu.
BACA LAGI: Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT
BACA LAGI: Cheng Hoe belum mahu 'pulang', puji sentuhan Nidzam Jamil bersama Selangor
Skrip berbeza dapat disaksikan bagi Selangor FC apabila pengendalinya, Nidzam Jamil kelihatan cukup tenang dan memberikan penjelasan mengenai perancangan dan perlawanan terbabit.
Malah, ketika memberi jawapan kepada pihak media, jurulatih berusia 44 tahun tersebut sempat bergurau apabila telefon bimbit seorang jurugambar berdering.
"Isteri ke? Kalau isteri, tidak boleh sekiranya tidak jawab," katanya ringkas yang kemudian membuatkan bilik sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dipenuhi gelak tawa.
Ini bukanlah kali pertama Nidzam mempamerkan telatah sedemikian kerana dia dikenali sebagai seorang jurulatih yang kerap bergurau, termasuk selepas perlawanan.
Gurauan itu juga sedikit sebanyak membuktikan pengendali kelahiran Kajang, Selangor tersebut tidak berasa tertekan meskipun ia adalah kali pertama dia merasai bahang dalam perlawanan akhir.
Skuad Gergasi Merah sudah tentu mahu memberikan persembahan terbaik bagi menamatkan penantian kira-kira 10 tahun untuk menjulang trofi selepas kali terakhir meraihnya pada 2015.
Bagaimanapun, cabaran besar perlu dihadapi Selangor FC apabila JDT memiliki cita-cita besar dalam perlawanan akhir tersebut untuk menjadi pasukan pertama menjulang tiga Piala FA berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram