Piala FA: Sikap pelari Selangor, Johor di SUKMA boleh jadi teladan buat fans bola sepak


  • Podium
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Danish Iftikhar dari Johor meraikan kejayaan selepas memenangi acara akhir 100m lelaki SUKMA pada Isnin.

GELARAN raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sah menjadi milik atlet Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang memenangi pingat emas acara 100 meter (m) di Stadium Sarawak dekat Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Danish Iftikhar mencatat masa terpantas 10.53 saat (s) dan menewaskan pelari Selangor, Danish Irfan Tamrin di tempat kedua (10.60s) dan pingat gangsa menjadi milik Muhammad Efrain Feerzan Qhan Mohd Yazid dari Pahang (10.66s).

Difahamkan, Danish Iftikhar sebelum ini menjadi pilihan selepas menyapu bersih kesemua kejohanan peringkat umur Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) dan merupakan permata meningkat naik dalam arena olahraga negara.

BACA LAGI: Piala FA: Isu kalimah ALLAH di bola JDT-Selangor selesai, ganti dengan nama finalis

BACA LAGI: Bekas pemain JDT mahu final Piala FA jadi landasan erat hubungan baik penyokong

Selain momen atlet berusia 17 tahun berkenaan meraih pingat emas pertamanya bagi temasya dwitahunan berkenaan, sikap semangat kesukanan Danish Iftikhar yang terus memeluk pesaingnya, Danish Irfan juga mendapat pujian.

Bukan hanya Danish Iftikhar dilihat mempunyai semangat kesukanan sejurus acara riben biru berkenaan berakhir, Danish Irfan juga dilihat sempat membetulkan semula bendera negeri Johor yang terbalik untuk lawannya itu.

Sikap dua pelari pecut muda itu diharap akan menjadi pengajaran buat penyokong bola sepak tanah air terutama peminat Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT), yang kini sering dilihat bertelagah di media sosial.

"Penyokong-penyokong kedua-dua pasukan juga diharap jangan mudah termakan hasutan pihak pihak tertentu yang mahu membenihkan persepsi negatif dan kebencian di dalam diri kita. Pihak yang melagakan penyokong JDT dan Selangor di media sosial rata-ratanya adalah akaun palsu dan bukan penyokong JDT mahupun Selangor.

"Niat pihak ini hanya mahu menyebabkan kedua dua pihak saling bergaduh dan bermusuhan. Sejak dahulu lagi Johor dan Selangor seperti adik beradik. Banyak persamaan dan pertalian antara kedua duanya.

"Jangan biarkan pihak pihak tertentu merosakkan hubungan ini. Sentiasa ingat Johor dan Selangor adalah dan selamanya bersaudara. Kita raikan Final Piala FA ini dengan semangat kesukanan dan persaudaraan," nasihat laman penyokong JDT, Empayar Darul Takzim - EDT.

Kehangatan Piala FA di antara Selangor FC dan Harimau Selatan juga semakin dirasai apabila menyaksikan platform media sosial menjadi medium penyokong dari kedua-dua pasukan cuba untuk mencetuskan provokasi.

Perlawanan antara skuad Gergasi Merah dan juara bertahan Piala FA, JDT akan pada berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram