Cheng Hoe belum mahu 'pulang', puji sentuhan Nidzam Jamil bersama Selangor


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Kali terakhir Cheng Hoe terlibat dalam arena bola sepak tanah air adalah ketika dia mengendalikan skuad Gergasi Merah.

KEPUTUSAN Tan Cheng Hoe untuk meninggalkan Selangor FC bagi membolehkannya mengambil alih kelab Thailand, Police Tero FC Februari lalu masih menimbulkan persoalan.

Dia yang sudah membawa skuad Gergasi Merah ke pentas Asia musim ini dijangka kekal lebih lama dengan pasukan itu, lebih-lebih lagi dengan hubungannya yang rapat bersama pihak pengurusan kelab.

Bagaimanapun, dengan faktor tersendiri, bekas pengendali Harimau Malaya berkenaan mengambil keputusan tersebut dengan Police Tero ketika itu berada di ambang penyingkiran.

BACA LAGI: Tan Cheng Hoe ganti Kim Pan-gon pimpin Harimau Malaya?

BACA LAGI: Tak adil samakan pencapaian Pan-gon dengan Cheng Hoe

2764210

Cheng Hoe hanya bertahan selama lima bulan di liga Thailand. Facebook/Police Tero FC

Reputasi dan pengalaman dimilikinya diharapkan dapat menyelamatkan pasukan tersebut daripada 'turun pangkat' ke divisyen kedua dengan hanya beberapa perlawanan berbaki.

Namun, seperti mana dijangka, Cheng Hoe gagal melakukan sebarang magis untuk menyelamatkan pasukan itu yang terpaksa beraksi di liga bawahan musim ini.

Kegagalan itu sekali gus menyaksikan khidmat jurulatih kelahiran Kedah tersebut tidak lagi ditagih selepas Police Tero mengumumkan pelantikan Thawatchai Damrong-Ongtrakul.

Ini membuatkan Cheng Hoe tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan yang seterusnya menimbulkan spekulasi bahawa dia berada dalam senarai untuk menggantikan Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan.

Tetapi, bagi pengendali berkenaan, peluang membimbing mana-mana kelab luar negara lebih tertarik buatnya dengan dia kini berstatus ejen bebas.

"Selepas liga tamat di Thailand, saya berehat di rumah dan bersama-sama keluarga. Sudah tentu, pada waktu ini, saya sedang mencari kerjaya untuk meneruskan karier sebagai jurulatih.

"Saya harap terdapat mana-mana kelab dari luar negara dapat bantu saya meneruskan karier kejurulatihan. Sudah tentu saya ingin memberi lebih tumpuan di luar negara kerana waktu saya di Thailand terlalu singkat," katanya kepada Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2024-08-12 at 3.46.58 PM

Cheng Hoe (kanan) dan Nidzam Jamil bersama-sama di skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Cheng Hoe berkata demikian ketika ditemui di Sungai Petani, Kedah ketika menghadiri saingan liga peringkat pembangunan akar umbi anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Pengendali berusia 56 tahun itu secara rasmi meninggalkan Police Tero pada Jun lalu yang sekali gus menamatkan kariernya selama kira-kira lima bulan di negara berkenaan.

Penghijrahan tersebut menyaksikannya berada dalam kelompok jurulatih tempatan yang berani mencuba nasib di negara luar dengan Irfan Bakti Abu Salim dan K Rajagobal merupakan antara yang lain.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut memuji perubahan dibawa pelapisnya, Nidzam Jamil dalam Selangor FC yang berada di kedudukan kedua Liga Super ketika ini.

"Tahniah kepada Nidzam Jamil kerana menggalas tanggungjawab yang bukan mudah. Tetapi, apa yang penting adalah saya rasa dari segi kepimpinannya cukup baik selain sokongan cukup baik daripada pengurusan serta pemain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram