Stadium jadi 'kelebihan' Selangor, statistik jelas milik JDT — Ramon Marcote


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Selangor akan bertemu JDT di pentas akhir Piala FA pada Sabtu. — MFL

KURANG daripada 24 jam perlawanan akhir Piala FA akan membuka tirainya yang menemukan dua sang gergasi Liga Bola Sepak Malaysia antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu (24 Ogos).

Pertembungan dua gergasi itu pastinya ditunggu-tunggu seluruh penyokong bola sepak tanah air selepas tidak dapatkan menyaksikan aksi Selangor menentang JDT pada awal musim ini.

Ia selepas Selangor menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden berlaku ke atas Muhammad Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali Mei lalu.

BACA LAGI: Dua kelab EPL berebut beli ramai pemain lelongon Lyon, bintang Olimpik jadi buruan

BACA LAGI: 'Jual tak untung, simpan tak rugi', fans labelkan Sumareh barang 'vintage' JDT

Menerusi perkongsian media sosial kedua-dua finalis, Gergasi Merah dan Harimau Selatan telah turun ke venue rasmi untuk berlatih di SNBJ sekali gus membiasakan diri dengan permukaan rumput serta keadaan hujan semasa perlawanan akhir nanti.

Bagi kem Selangor kesemua pemain dilihat berada dalam kondisi terbaik untuk menentang JDT bagi merebut kejuaraan Piala FA yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2009.

Faisal Halim turut kelihatan berada dalam sesi latihan Selangor di SNBJ sekali gus memberi bayangan pemain tersebut mungkin akan turun menentang Harimau Selatan.

Manakala bagi kem Harimau Selatan pula pemilik JDT, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyertai sesi latihan pasukannya untuk memberikan semangat buat pemain-pemain Johor.

Kondisi pemain-pemain JDT juga dilihat berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan kejuaraan Piala FA di bumi Johor yang dimenangi pada musim lalu.

Bercakap mengenai aksi akhir Piala FA pada Sabtu, bekas jurulatih Selangor dan Kedah, Ramon Marcote Pequeno berpendapat perlawanan itu akan menjadi hiburan terbaik untuk kesemua penyokong musim ini.

"Dalam perlawanan akhir semuanya boleh berlaku, setakat ini JDT masih meneruskan kekuasaan mereka sebagai juara Liga Malaysia yang telah konsisten sekian lama.

"Manakala Selangor telah konsisten di halaman sendiri musim ini namun gagal beraksi baik di tempat lawan.

"Perlawanan akhir dimainkan di gelanggang natural, Bukit Jalil ini sedikit sebanyak memberikan yang sama rata buat kedua-dua pasukan dan Selangor harus mengambil peluang daripada segi ini.

"JDT pasukan yang sangat bagus untuk mengatasi tekanan kerana mereka sudah biasa beraksi di pentas akhir dan memenanginya.

"Statistik juga menunjukkan JDT akan menjadi pasukan pilihan untuk memenangi Piala FA musim ini," katanya kepada Majoriti.

Namun Marcote tetap mengakui bahawa Selangor musim ini lebih kuat berbanding tahun lalu dengan kemasukkan pemain-pemain import yang berkualiti.

"Selangor musim ini nampak lebih baik dengan kemasukkan pemain kebangsaan Uzbekistan, Alvin Fortes, Ronnie Fernandez dan dua bintang Jordan ditambah Yohandry Orozco serta Noor Al-Rawadbeh.

"Nooa Laine juga membawa kelainan dalam pasukan meskipun Selangor kehilangan Brendan Gan yang mempunyai pengalaman penting buat pasukan sama seperti kelajuan serta kualiti dimiliki Faisal Halim.

"Pemain lokal lain pula sudah mempunyai pengalaman dan bermain dalam pemain-pemain penting buat Selangor.

"Secara keseluruhannya, Selangor lebih baik berbanding musim lepas disebabkan itu ia akan menjadi final terbaik menentang JDT," jelasnya.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu juga berpandangan perang taktikal antara kedua-dua jurulatih juga akan membuatkan perlawanan akhir Piala FA itu tambah menarik.

"Menarik juga untuk melihat percaturan jurulatih kedua-dua pasukan, seperti tahun lepas Selangor bertemu JDT sebanyak tiga kali dan kami (barisan jurulatih 2023) menggunakan dua pendekatan berbeza tidak cukup menewaskan JDT.

"Tahun ini dengan dua jurulatih baharu menarik untuk kita melihat taktikal apa yang digunakan mereka untuk memecahkan barisan pertahanan JDT," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram