Persiapan sudah serba lengkap, tapi ada 3 hal boleh jejaskan kehangatan final Piala FA


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Kedua-dua pasukan pasti tidak sabar untuk menunjukkan taring masing-masing di Stadium Nasional Bukit Jalil.

PERTEMBUNGAN dua gergasi bola sepak tanah air, Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas Piala FA pada Sabtu sudah tidak dapat dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan.

Laluan berliku yang ditempuhi mereka sepanjang kempen kali ini menjadi petanda aksi tersebut akan menyajikan kehangatan tersendiri dengan ia sudah dapat dirasai bermula dari awal minggu lagi.

Kelebihan sudah tentu berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang sudah menjuarai pertandingan berkenaan buat dua tahun berturut-turut bermula 2022.

BACA LAGI: Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT

BACA LAGI: Piala FA: Isu kalimah ALLAH di bola JDT-Selangor selesai, ganti dengan nama finalis

456665996_525440046544650_1304491169860533287_n

Selangor dan JDT akan berentap untuk membawa pulang Piala FA 2024. Facebook/MFL

Namun, Selangor FC hadir ke perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dengan reputasi tersendiri selaku kelab dengan jumlah kejuaraan terbanyak berbanding mana-mana pasukan lain.

Perihal itu membuktikan perlawanan tersebut akan menyajikan persembahan terbaik dengan lebih 80,000 tempat duduk di venue perlawanan berkenaan akan dipenuhi penyokong.

Bagaimanapun, meskipun sudah pelbagai persiapan dibuat, masih terdapat beberapa perkara yang akan menjejaskan keterujaan pada hari pertembungan.

Melihat kepada penilaian Majoriti, berikut merupakan tiga isu yang mungkin bangkit pada Sabtu sehingga melunturkan kehangatan aksi Piala FA 2024.

1. Keadaan padang akibat cuaca

Beberapa minggu kebelakangan ini, hampir keseluruhan kawasan Lembah Klang mengalami cuaca hujan lebat, terutamanya pada waktu petang sehingga ada berlakunya fenomena banjir kilat.

Cuaca sedemikian boleh dikatakan satu mimpi ngeri bagi mana-mana aksi bola sepak, termasuk dalam negara dengan perkara itu hanya akan melambatkan permainan.

Tidak cukup dengan itu, sistem perparitan tidak efisien boleh mengakibatkan air bertakung di atas padang sehingga meningkatkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain.

1622384

Air bertakung di Stadium Nasional Bukit Jalil sering menjadi isu pada tahun-tahun sebelum ini.

Masalah tersebut bukanlah tidak pernah berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila beberapa tahun lalu, isu tersebut acap kali diperkatakan ketika perlawanan berlangsung di situ.

Jadi, sekiranya padang basah dan berlecak, pemain terpaksa menyesuaikan diri untuk mengelak kecederaan serius daripada berlaku sepanjang berada di atas padang.

Bagaimanapun, melihat kepada usaha Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat kemungkinan masalah itu tidak akan berulang seperti dahulu kala.

2. Mutu pengadilan

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat sudah mengumumkan aksi tersebut bakal diadili Nazmi Nasaruddin yang boleh dilabel sebagai pilihan terbaik dalam negara ketika ini.

Namun, masih terdapat pertikaian daripada penyokong kerana pengadil itu menimbulkan kontroversi ketika separuh akhir Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman FC.

Situasi sedemikian sudah tentu diharapkan tidak berulang dalam perlawanan akhir berkenaan kerana penyokong pasti mengharapkan satu perlawanan yang adil.

456621345_525450276543627_664888126740670377_n

Nazmi (tengah) dipilih sebagai pengadil bagi perlawanan itu nanti. Facebook/MFL

Ini kerana pada final Piala Malaysia 2023, pemilihan pengadil turut dipertikaikan sehingga pelbagai pihak terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi menjawab pertikaian orang ramai.

Di samping itu, penggunaan video bantuan pengadil (VAR) yang lebih cekap juga diharapkan daripada petugas yang dipilih kerana teknologi tersebut juga menjadi topik perbualan hangat musim ini.

Tetapi, dengan perlawanan akhir berkenaan mencuri tumpuan daripada peminat lain secara amnya, MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga sudah tentu mengharapkan yang terbaik daripada individu sudah dipilih.

3. Provokasi berlebihan

Seperti dikatakan di atas, permusuhan antara JDT dan Selangor FC sudah diketahui sejak dahulu lagi kerana masing-masing berusaha sedaya upaya untuk membuktikan diri mereka sebagai yang terbaik.

Bagaimanapun, hubungan tegang tersebut diharapkan hanya berkekalan sepanjang 90 minit di atas padang tanpa melibatkan penyokong yang memenuhi stadium.

Lebih teruk lagi, provokasi sepanjang perlawanan amat diharapkan dapat dielak kerana khuatir terdapat kemungkinan pergaduhan berlaku ketika hari perlawanan.

2686404

Permusuhan antara JDT dan Selangor tidak perlu diperkenalkan lagi.

Isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu apabila sejak beberapa tahun lalu, terdapat kekecohan setiap kali masing-masing bertemu sehingga perkara itu dikhuatiri tercetus dalam perlawanan itu nanti.

Selain berlakunya percakaran, kelakukan seperti membaling objek keras ke arah satu sama lain sering berlaku sehingga membuatkan orang ramai tidak tertarik untuk menyokong bola sepak tempatan.

Tetapi, melihat kepada kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), masalah sedemikian dilihat dapat dielakkan sekiranya setiap petugas dan penyokong memainkan peranan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram